ANTARA empat pelancong asing yang melakukan aksi tidak senonoh di Gunung Kinabalu. FOTO Datu Ruslan Sulai
ANTARA empat pelancong asing yang melakukan aksi tidak senonoh di Gunung Kinabalu. FOTO Datu Ruslan Sulai
Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Empat pelancong warga asing termasuk dua wanita dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berbogel di puncak Gunung Kinabalu, Mei lalu, di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh Eleanor Grace Hawkins, 23, Lindsey Peterson, 23, Dylan Thomas Snel, 23, dan Daniella Anne Louisa Peterson, 22, didakwa melakukan perbuatan itu pada 30 Mei lalu, kira-kira 6.45 pagi ketika berada di puncak gunung tersebut.

Mengikut pertuduhan, Eleanor dan Daniella menanggalkan baju dan bra, manakala Lindsey dan Dylan didakwa berbogel sepenuhnya bersama enam individu yang lain.

Sehubungan itu, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Dean Wayne Daley memutuskan semua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara dari tarikh ditahan pada 9 Jun lalu.

Selain itu, tertuduh juga berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin manakala tertuduh diwakili peguam Ronny Cham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 7:17 PM