Wanita Britain yang dijatuhkan hukuman penjara tiga hari Malaysia kerana berkelakuan tidak senonoh berbogel di puncak Gunung Kinabalu membuat permohonan maaf secara terbuka di depan rumah keluarganya kelmarin.

Menurut laporan Daily Mail, Eleanor Hawkins, 23, kelihatan letih dan hampir menangis ketika membuat kenyataan itu sebaik tiba di rumah keluarganya di Draycott, Derbyshire, selepas perjalanan pulang selama 24 jam.

Dia bersama dua beradik warga Kanada dan seorang rakyat Belanda didenda RM5,000 seorang dan penjara tiga hari dari tarikh ditahan pada 9 Jun lalu selepas mengaku bersalah berbogel di puncak Gunung Kinabalu, akhir bulan lalu.

Graduan kejuruteraan angkasa itu ditemani bapanya, Tim, 57, dan ibu, Ruth, 56, memberi kenyataan ringkas: “Saya hanya mahu berkata betapa lega dan gembira kerana akhirnya pulang.

“Saya akui kelakuan saya mengarut dan sedar betapa besarnya kesalahan kami lakukan kepada penduduk Sabah.

“Untuk itu saya benar-benar mohon maaf. Saya tidak akan menjawab sebarang soalan atau membuat kenyataan lagi.”

Menurut ibunya, ia adalah masa penuh trauma kepada Eleanor yang menyesali perbuatannya dan sudah menjalani hukumannya.

Eleanor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dengan pesawat Penerbangan Malaysia Sabtu lalu.

Penumpang pesawat itu tidak dibenar turun ketika Eleanor diiring keluar ke bilik khas bertemu ibu bapanya bagi mengelak jurugambar. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 8:31 PM