BARISAN artis dan karyawan yang terbabit dalam bengkel drama.
BARISAN artis dan karyawan yang terbabit dalam bengkel drama.
IZZUE dan Zoey beramah mesra dengan penuntut universiti.
IZZUE dan Zoey beramah mesra dengan penuntut universiti.
Oleh Ramlah Zainal


Penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL2015) kembali lagi de­ngan pengisian yang lebih menarik dan mantap untuk menyemarakkan acara kali ini.

Acara yang dianjurkan TV3 dan TV9 ini bukan saja meraikan golongan karyawan tanah air, tetapi sekali gus menyediakan platform kepada orang ramai untuk menimba ilmu dalam bidang perfileman.

DFKL2015 turut mengangkat pelakon popular Zul Ariffin dan Nur Fathia sebagai duta serta aktres popular Nora Danish pula duta media sosial.

Seperti penganjuran tahun lalu, acara kali ini turut menampilkan karyawan dan nama besar dalam bidang perfileman serta pakar animasi hebat untuk menjayakan bengkel drama kali ini.

Antara mereka yang terbabit dalam bengkel yang berlangsung pada 14 dan 15 Mac nanti di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur ialah Datuk Yusof Haslam, Nik Amir, Azman Yahya (Jinggo) dan Khai Bahar (pe­ngarahan).

Karyawan yang akan menjayakan bengkel animasi ialah Nizam Razak (Animonsta Studio), Usamah Zaid (Wau Studio), Tariq (Glues Studios) dan Faizu (Les Copaque).

Tidak ketinggalan, barisan pelakon hebat dan berkaliber yang bakal berkongsi ilmu dalam bidang lakonan iaitu Sheila Rusly, Remy Ishak, Norkhiriah.

Manakala, pengarah Mamat Khalid, Didie Alias, Sharifah Shahira dan Ebby Yus pula berkongsi pengalaman dalam dunia komedi.

Pelakon dan penerbit JS Pictures, Sheila Rusly berkata, dia berasa bangga kerana diberi kepercayaan buat kali kedua untuk menjayakan bengkel drama berkenaan.

“Saya ditawarkan pihak TV3 untuk menjadi juri mencungkil bakat baru untuk diserap masuk dalam produksi JS Pictures pada DFKL tahun lalu.

“Kali ini saya dan suami, Jinggo ditawarkan sekali gus menjadi penceramah untuk bengkel drama sempena DFKL2015 pula,” katanya.

Sheila berkata, dia berharap orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai bengkel yang akan dikendalikan bersama suaminya itu.

“Maklumlah, memang mudah untuk menjadi pelakon, tetapi untuk menjadi pelakon serius seseorang itu perlu mendalami teknik dalam bidang lakonan.

“Justeru, sebagai penceramah, saya juga akan berkongsi ilmu dengan peserta sepanjang 25 tahun terbabit dalam industri seni,” katanya.

Jinggo pula berkata, dia akan berkongsi ilmu mengenai bidang pengarahan dengan peserta bengkel berkenaan.

“Saya bermula dalam dunia belakang tabir dan mula mengarah drama sejak 2003 sampailah sekarang.

“Menerusi bengkel ini, saya akan berkongsi ilmu dengan peserta mengenai teknik pengarahan dan sebagainya lagi,” katanya.

Noorkhiriah pula berkata, bengkel drama itu bagus untuk mencari barisan pelapis dalam bidang lakonan.

“Sebagai salah seorang penceramah, saya akan berkongsi ilmu mengenai teknik lakonan, fokus dan bagaimana untuk menjiwai watak dalam karakter dilakonkan.

“Saya berharap orang ramai yang berminat untuk menjadi pelakon yang berkarakter tidak akan lepaskan peluang untuk menyertai bengkel drama ini,” katanya.

Siri Jelajah ke institusi pengajian tinggi dapat sambutan ramai

Selepas kejayaan sesi jelajah di KL Metropolitan University College (KLMUC) pada 12 Februari lalu, acara diteruskan bersama penuntut di UNITAR International University, Kelana Jaya, kelmarin.

Antara artis yang terbabit pada sesi jelajah di UNITAR ialah pelakon Izzue Islam dan Zoey Rahman.

Ketika ditemui Izzue berkata, dia tetap tidak ingin melepaskan peluang keemasan untuk memeriahkan penganjuran DFKL 2015 kali ini.

“Walaupun agenda seni padat, saya tetap berasa terpanggil untuk membuat penampilan khas dan sesi ramah mesra bersama penuntut sepanjang sesi jelajah DFKL2015 di UNITAR ini.

“Saya berharap acara ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana banyak ilmu yang boleh dikongsi peserta dalam bengkel drama dianjurkan,” katanya.

Menyusul selepas ini ialah sesi jelajah ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka hari ini.

Lapan kategori dipertandingkan pada malam anugerah DFKL2015

Malam Anugerah DFKL2015 yang akan berlangsung pada 20 Mac nanti menyaksikan sebanyak lapan kategori akan dipertandingkan.

Ia membabitkan kategori seperti Drama Pilihan, Pelakon Lelaki Pilihan, Pelakon Wanita Pilihan, Pengarah Drama Pilihan, Penulis Skrip Drama Pilihan, Barisan Pelakon Drama Pilihan, Hero dan Heroin Pilihan dan Drama Pendek Pilihan.

Antara drama yang bertanding ialah Cerita Cinta Kita, Menjinak Ombak, Selamat Pengantin Madu, Rindu Awak 200%, Jiwa, Kristal Maya, Setitis Kasih Darmia, Cinta Pandang Kedua dan Menantu 10 Ribu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 12:13 PM