IZZUE sifatkan pengkritik tidak tahu situasi sebenar mengapa mereka buat sesuatu keputusan.
IZZUE sifatkan pengkritik tidak tahu situasi sebenar mengapa mereka buat sesuatu keputusan.
Rudy Imran Shamsudin


Melantik isteri menguruskan kerjaya seni menjadikan segala urusan jadi mudah. Bekerja dengan insan yang kita kenal hati budi dan sentiasa berada di sisi dapat mengelakkan timbul banyak isu.

Tambahan pula sebagai artis kerja tidak tentu masa. Apabila berada bersama suami, selain membantu menyiapkan keperluan diperlukan dapat juga menghabiskan masa bersama.

Itu andai dilihat dari sudut positifnya, tetapi bagi aktor Izzue Islam dan isteri juga merangkap pengurus Nurinafilah Waharudin atau Awin, menjaga suami selepas bernikah pada pertengahan tahun 2013, banyak isu kurang menyenangkan diperkatakan mengenai mereka.

Pelbagai andaian dan dakwaan dibuat, kononnya Awin terlalu mengongkong. Malah perkara itu hangat diperkatakan apabila Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan pertama kali meletakkan syarat dia tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita.

Bagaimanapun, prinsip Izzue itu menjadi ikutan beberapa pelakon lain. Malah, stesen TV kini terikat dengan garis panduan pelakon lelaki dan wanita tidak boleh bersentuhan dalam keadaan keterlaluan.

Begitu juga dengan dakwaan Izzue tidak mahu mengunggapkan kata ‘sayang’ kepada pasangan gandingannya dalam drama sedangkan ia tertera dalam skrip dan dialog.

Seperti biasa, Awin sekali lagi dipersalahkan kononnya dia terlalu cemburu sehingga Izzue tampil dengan syarat itu sekali gus menyusahkan pihak produksi.

Izzue bagaimanapun menjelaskan kepada RAP, isu ungkapan ‘sayang’ itu diketengahkan olehnya kerana ada skrip dan dialog tidak kena dengan situasi yang cuba digambarkan sesebuah drama.

Menyentuh mengenai isterinya, Izzue yang ditemui baru-baru ini menjelaskan dia sebenarnya tidak mahu bercerita banyak mengenai perkara itu apatah lagi yang diperkatakan itu adalah wanita sangat dicintainya.

“Orang boleh bercakap apa saja mengenai saya dan isteri tetapi hakikatnya mereka tidak tahu situasi sebenar mengapa kami buat sesuatu keputusan.

“Mereka yang menimbulkan isu dan memandang setiap keputusan saya buat dengan mengaitkannya dengan Awin walhal mereka tidak faham kerja kami,” katanya.

Sebagai pelakon, Izzue cuba memberikan yang terbaik dan untuk itu dia perlu memikirkan bagaimana corak persembahan watak yang dilakonkan.

“Apabila saya memberikan tumpuan pada lakonan, ada perkara lain diperlukan untuk memastikan perjalanan kerja berjalan lancar. Sudah tentu saya perlukan orang lain untuk melaksanakannya dan dari sudut itu saya bertuah kerana isteri mahu memikul tanggungjawab melaksanakan tugas terbabit.

“Dia sangat faham dan tahu apa yang saya perlukan, jadi apa saja masalah timbul di set penggambaran dia sudah tahu bagaimana hendak menyelesaikannya,” katanya.

Jelas Izzue lagi, dia memerlukan Awin sebagai pengurus bagi memastikan kerjaya seninya berjalan lancar dan perkara itu tidak seharusnya dipersoalkan.

Dalam merencanakan kerjaya seni agar terus berkembang baik, Izzue memastikan bukan saja memberikan persembahan terbaik malah watak dan perwatakan yang dijayakan itu mestilah menepati gambaran skrip.

“Saya sangat menjaga penghayatan dan penampilan watak. Disebabkan itu saya tidak keberatan mengetepikan sebahagian bayaran diterima untuk membeli baju bersesuaian dengan watak.

“Bayangkan kadang-kadang ada watak mahu saya bergaya dengan pakaian tertentu dan pakaian itu tidak disediakan produksi. Untuk mendapatkan tajaan juga tidak ada yang menghasilkan baju sedemikian.

“Saya sanggup menempah baju seperti yang dikehendaki produksi agar watak lakonan saya nampak benar-benar hidup,” katanya.

Kata aktor yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Gemilang itu lagi, ada ketika dia ditawarkan watak klise namun tiada masalah untuk menerimanya.

Jelas Izzue, menerusi cara berpakaian juga mampu membuatkan watak nampak berbeza daripada yang pernah dilakonkannya sebelum itu.

“Kalau boleh saya tidak mahu nampak sama dalam drama. Sebab itu saya sangat memberi penekanan terhadap penampilan. Saya sangat serius ketika bekerja dan tidak mahu dilabel klise setiap kali muncul di kaca TV,” katanya.

Dalam melaksanakan tugas itu, Izzue berkata dia bergantung kepada isterinya yang pandai membentuk imej yang diperlukan oleh skrip dan pengarah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 6:56 AM