REMY (tengah) bersama pelakon asal teater Maduku Kalut.
REMY (tengah) bersama pelakon asal teater Maduku Kalut.
Syanty Octavia Amry


Selepas mencatat kejayaan dalam pementasan pada 2003, teater Maduku Kalut sekali lagi ia bakal di pentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 7 hingga 9 Ogos depan.

Selain kekal dengan pelakon Jihan Muse, Nad Zainal, Sherry Al Hadad, Dafi dan Atoi Tohet, teater terbitan Mask Team dan arahan Azhar Zainal itu turut menampilkan pelakon terkenal Remy Ishak menggantikan Izzue Islam dengan membawa watak Selamat.

Penerbit Eksekutif Mask Team Amer Syafiq berkata, tawaran mementaskan semula teater ini diterima pada hujung Mei lalu.

“Ini satu peluang besar yang harus saya ambil kerana bukan semua orang dapat menjayakan persembahan di pentas tersohor itu.

“Walaupun masa agak terhad kira-kira tiga bulan, saya bersyukur pelakon dapat memberikan kerjasama baik.

“Mereka juga tidak serik untuk bekerjasama sekali lagi meskipun pernah berlaku sedikit masalah pada persembahan teater yang pertama,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran Remy, Amer berkata, selepas berbincang dengan produksi, mereka sepakat mengambil Remy berikutan Izzue tidak dapat memberikan komitmen kerana terikat dengan projek filem.

Sementara itu, Remy berkata, sebelum ini dia pernah ditawarkan untuk berlakon dalam teater itu, tetapi disebabkan sibuk dia tidak berpeluang malah belum berkesempatan untuk menyaksikannya.

“Saya anggap ini adalah rezeki selepas pertama kali ditawarkan saya tidak dapat menerimanya. Peluang kedua ini diharap akan memberi ruang untuk saya lebih mengenali watak.

“Saya akui sangat tercabar kerana belum pernah menyaksikan cerita ini dan perlu membuat banyak kajian dan latihan.

“Apa yang saya tahu teater ini banyak komedinya dan saya akan cuba mengurangkan apa yang tidak perlu di samping itu akan cuba memberi pembaharuan lebih menarik lagi terhadap watak saya,” katanya.

Dalam pada itu, Nad Zainal berkata, dia gembira apabila Remy dipilih sebagai hero teater ini.

Menurutnya, pengalaman bekerja dengan Remy meyakinkannya jejaka hitam manis itu mampu memberikan lakonan mantap.

“Remy adalah idola saya dalam lakonan. Saya suka cara dia berlakon kerana dia sangat serius dan sering membuat kajian terhadap setiap watak yang dijayakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 9:56 AM