Anggota polis yang cedera dan lori yang merempuh kereta polis. FOTO ihsan PDRM
Anggota polis yang cedera dan lori yang merempuh kereta polis. FOTO ihsan PDRM
Oleh Mohd Rizal Abdullah


Miri: Seorang lelaki berusia 29 tahun yang dikatakan membuat kecoh di stesen minyak sebelum cuba ditahan polis bertindak jahat apabila melanggar kereta polis yang memintasnya menggunakan lori dipandunya dalam kejadian di Jalan Miri-Bintulu berhampiran Lambir, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian pada 2 pagi itu menyebabkan dua anggota polis unit kereta peronda(MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri cedera.

Menurut sumber, suspek dikatakan membuat kecoh di sebuah stesen minyak di Jalan Airport kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian dan anggota polis yang menerima laporan segera mengesan suspek.

"Ketika mengejar lori dipandu suspek, anggota polis berjaya memintasnya, tetapi suspek bertindak nekad merempuh kereta polis.

"Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas beberapa minit kemudian dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut," katanya.

Susulan kejadian itu, dua anggota polis berkenaan cedera, tetapi sudah mendapatkan rawatan di Hospital Miri.

Difahamkan, suspek di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee mengesahkan kejadian itu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 6:54 PM