Suspek ditahan anggota polis.
Suspek ditahan anggota polis.
Mohd Rizal Abdullah


Remaja perempuan berusia 13 tahun ditemui mati di dalam but kereta dipercayai dicekik teman lelaki ibunya di persimpangan Miri Port, Kuala Baram, Miri, hari ini.

Mangsa ditemui selepas polis berjaya menahan suspek berusia 33 tahun yang cuba melarikan diri dengan Proton Iswara sejurus melihat kehadiran polis di Jalan Perlis, Kuala Baram pada 5.55 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, sebelum kejadian, anggota polis dari cawangan kereta peronda(MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri melakukan rondaan sebelum terserempak dengan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek dilihat berada di belakang keretanya dengan keadaan but terbuka di tepi jalan berkenaan dipercayai mahu membuang mayat mangsa

"Suspek kemudian masuk semula ke dalam kereta lalu terus memecut, bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas dikejar sejauh lima kilometer," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui mangsa di but kereta berkenaan.

"Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek di sebuah rumah sewa di Permyjaya pada jam 11 pagi hari ini.

"Suspek kemudiannya dipercayai mencekik mangsa sehingga mati sebelum cuba membuang mayat mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 11:15 PM