SUSPEK dibawa ke Balai Polis Miri.
SUSPEK dibawa ke Balai Polis Miri.

Miri: Tindakan seorang lelaki melaram menggunakan motosikal curi menjerat diri apabila pemilik kenderaan itu terserempak sebelum menghubungi polis di Lambir, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang, suspek berusia 50-an ditahan polis selepas dimaklumkan pemilik motosikal berkenaan.

Sumber berkata, motosikal mangsa berusia 40-an itu dilaporkan hilang Khamis lalu di rumahnya di Lambir.

“Mangsa dengan bantuan rakan berusaha mengesan motosikal itu di Lambir sebelum terserempak suspek yang menunggang jentera berkenaan tanpa menukar nombor pendaftaran.

“Mangsa menghubungi polis kerana bimbang keselamatan jika dia mengambil tindakan sendiri. Polis bergegas ke lokasi sebelum menahan suspek,” katanya.

Menurut sumber, semakan mengesahkan motosikal itu milik mangsa dan suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan.

“Pemeriksaan mendapati suspek pernah ditahan dan dipenjarakan atas kesalahan sama sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 9:34 AM