SUSPEK yang melanggar sekatan jalan dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ditahan untuk siastaan lanjut. FOTO Erika George
SUSPEK yang melanggar sekatan jalan dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ditahan untuk siastaan lanjut. FOTO Erika George
Erika George


BUKAN sahaja melanggar sekatan jalan raya, malah turut menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota keselamatan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Simpang Batu Niah, Kilometer 96, Jalan Miri-Bintulu di sini, semalam.

Namun perbuatan jelek suami isteri berusia 25 dan 22 tahun itu mengundang padah apabila mereka ditahan empat jam kemudian.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, pasangan berkenaan menaiki kereta Proton Saga berwarna hitam itu dikatakan memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pemandu kemudiannya memecut laju kenderaan sekali gus mengingkari arahan berhenti.

Meng Seah berkata, hasil semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan mendapati ia milik seorang penduduk di sebuah rumah panjang di Suai di Jalan Miri-Bintulu.

“Sejurus semakan dibuat, beberapa anggota dari Balai Polis Batu Niah ke rumah panjang berkenaan dan berjaya menahan suami isteri itu pada jam 2 petang semalam,” katanya.

Menurutnya, kereta yang digunakan kedua-dua suspek turut dirampas polis bagi tindakan lanjut.

Katanya, kedua-dua suspek direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26, 186 dan 509 Kanun Keseksaan serta Peraturan (7)(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sementara itu, Meng Seah berkata, sembilan individu ditahan di Miri kerana melanggar PKP yang masuk minggu kedua.

“Polis di Bahagian Miri akan memastikan arahan PKP ini dipatuhi oleh semua masyarakat awam sekitar sini termasuk di kawasan Suai dan Niah bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:41 PM