GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Garret Dawum


KANAK-kanak lelaki lemas selepas terjatuh ke Loji Rawatan Air di Jalan Miri-Bintulu di Lambir, Miri hari ini.

Kejadian berlaku 12 tengah hari ketika Hairil Iskandar, 11, dikatakan mencuci kakinya selepas selesai berjoging bersama tiga rakan.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Kampung Lambir tergelincir lalu terjatuh ke dalam loji dengan kedalaman kira-kira tujuh meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.16 tengah hari dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan enam anggota BBP Lopeng terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dengan kekuatan 11 anggota,” katanya.

Katanya, mayat mangsa ditemui 2.54 petang selepas pencarian dilakukan di kedalaman sehingga empat meter di loji berkenaan.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 4:08 PM