Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun, dipercayai suspek kes peras ugut dan samun pelajar di Kadok, di sini, ditahan polis 5.30 pagi tadi di Wakaf Bharu, Tumpat.

Kedua-duanya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di simpang dekat sebuah kedai perabot di Wakaf Bharu ketika cuba melarikan diri.

Mereka sebelum itu ditemui anggota peronda polis pada 5.10 pagi di Bulatan Wakaf Bharu dalam keadaan mencurigakan dan diarah menyerah diri.

Bagaimanapun, suspek bertindak memandu hingga ke Pasir Tumboh, di sini dan berpatah balik dengan melawan arus selain melanggar beberapa lampu isyarat merah.

Ketika tiba di simpang dekat kedai perabot, Wakaf Bharu, kereta suspek terbabas dan mereka ditahan selepas berlaku pergelutan.

Pemeriksaan dalam kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu itu menemui sebatang besi panjang 27 inci.

Sebelum itu, pada 5.40 petang semalam, suspek dipercayai bersama tiga yang lain memeras ugut seorang pelajar berusia 18 tahun di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok dan turut melarikan motosikal ditunggang mangsa.

Mangsa juga dipukul di kepala dan lengannya .

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 3:21 PM