Oleh Nor Amalina Alias

 

Bachok: Lelaki berusia 20-an dipercayai anggota geng samun cedera ditembak polis di paha kanan di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, 10.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu seorang lagi rakan suspek turut ditahan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, sebelum kejadian sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat menerima maklumat mengenai kegiatan samun berkumpulan di Kampung Paya Purnama, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini.

"Anggota bergerak dengan dua pacuan ke rumah berkenaan dan melakukan pemantauan sebelum dua suspek berkenaan menyedari kehadiran polis dan bertindak melarikan diri.

"Mereka bertindak melarikan diri menaiki kereta Perodua Kembara dan berlaku insiden kejar-mengejar sehingga ke Wakaf Mek Zainab, di sini.

"Ketika tiba di situ, suspek bertindak merempuh anggota dan mengancam keselamatan menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan. Seorang suspek cedera di paha kanan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Minggu Disiplin dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin-Pemimpin Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek adalah ahli kumpulan samun yang aktif dalam kegiatan samun bersenjata di sekitar Kota Bharu, Tumpat dan Machang.

Suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 1:12 PM