BERKEBOLEHAN bermain ukulele.
BERKEBOLEHAN bermain ukulele.
Oleh Nor Akmar Samudin


Penyanyi remaja, Maisarah Faizal, 14, amat meminati bidang seni sama ada seni suara mahupun seni lukis.

Selain cemerlang dalam akademik, Maisarah juga bercita-cita menjadi penyanyi terkenal dan dalam masa yang sama mahu mengejar impiannya sebagai pelukis.

Maisarah juga beruntung kerana mendapat sokongan penuh ibu bapanya.

Sebagai pengenalan kepada peminat seni suara tanah air, Maisarah akan hadir dengan single berjudul Tak Mungkin Sendiri ciptaan dan terbitan Royce Sayan.

Selain itu Maisarah juga berkebolehan bermain piano dan ukelele.

“Saya belajar sendiri bermain ukelele dua tahun lalu melalui YouTube dan sebagainya. Tidak sukar untuk belajar perkara baru asalkan ada minat.

“Saya mula berminat bermain ukelele selepas melihat pelajar ‘senior’ di sekolah bermain alat muzik itu.

“Bukan itu saja, saya sanggup mengumpul duit raya untuk membeli ukelele. Kini pada setiap persembahan saya akan turut bermain ukelele termasuk ketika merakamkan lagu Tak Mungkin Sendiri.

“Walaupun saya asyik dengan muzik, namun pelajaran tidak pernah abaikan kerana saya mahu jadi insan seni yang berilmu. Sama ada saya ditakdirkan menjadi pelukis atau penyanyi terkenal suatu hari nanti, saya juga mahu menuntut ilmu setinggi yang boleh,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu juga dikurniakan bakat menari di mana dia adalah Penari Sayang Dancers dan pernah terbabit dalam konsert 33 Tahun Keunggulan Francessca Peter pada 2011 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Dia juga turut menjayakan Konsert Journey Through Song, Ingin Bersua DJ Dave pada Jun 2012 di Istana Budaya dan Persembahan One Nite Only With Hasnol pada Disember 2014 di sebuah hotel di Kuala Lumpur berduet menyanyikan lagu Something Stupid dan Love.

“Barangkali dalam dunia muzik arus perdana saya belum dikenali ramai. Pun begitu ia tidak mengekang minat bahkan saya banyak mendapat jemputan membuat persembahan dengan syarikat korporat dan jabatan kerajaan,” katanya.

Menariknya, Maisarah juga berkebolehan menyanyikan lagu lama seperti dipopularkan Sanisah Huri dan dengan kemampuannya itu, dia diundang membuat persembahan dalam Konsert Orkes Nirwana Jubli Emas di Istana Budaya pada 7 Jun depan.

Dia bukan saja akan menyanyikan lagu Sanisah Huri tetapi akan menari sama.

“Sebagai penyanyi, saya tidak boleh hadkan minat saya terhadap lagu moden saja. Masih ramai yang meminat lagu lama dan biarpun waktu beredar dengan pantas, lagu lama tidak pernah dilupakan.

“Lagu baru masih tidak dapat menandingi kehebatan lagu lama yang terus malar segar. Saya bangga apabila dapat bersama-sama Orkes Nirwana meraikan ulang tahun ke-50 kumpulan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 12:30 PM