SANISAH menyepi selama 20 tahun sebelum kembali menyanyi.
SANISAH menyepi selama 20 tahun sebelum kembali menyanyi.
SANISAH ketika muda.
SANISAH ketika muda.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Selepas membuat kemunculan semula bersama penyanyi pop yeh yeh pada 1985, penyanyi era 1960-an Sanisah Huri terus menyepikan diri.

Difahamkan, sejak itu dia terus menetap di Singapura dan tidak pernah kembali ke Malaysia.

Ada yang bercerita kononnya Sanisah merajuk dengan industri muzik tempatan hingga membawa kepada penyepiannya selama ini.

Hanya kemerduan suaranya mengalunkan barisan lagu berhantu antaranya Bersabarlah Sayang, Aidilfitri dan Selamat Hari Raya yang dimainkan setiap kali ketibaan Aidilfitri dapat mengubat kerinduan peminat terhadapnya.

Bagaimanapun, tahun lalu Sanisah mencipta kejutan apabila muncul dalam Konsert Aku, Dia & Lagu, Senikata Indah Yusnor Ef di Esplanede, Singapura bersama rakan seangkatannya seperti Maria Bachok.

Terbaru, Sanisah bakal tampil dalam konsert yang sama di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 11 April depan bersama J Mizan, Maria Bachok, Shafie, A Razak dan Rasyidah Rahim.

Ditemui pada sidang media di IB baru-baru ini, Sanisah yang kini berusia 63 tahun menafikan dia merajuk.

“Kalau merajuk, saya dah tak muncul lagi dalam mana-mana persembahan. Bayangkan sudah lebih 20 tahun saya tak menyanyi di pentas besar, tentunya saya teruja untuk menghiburkan peminat semula,” katanya.

Sanisah berkata, sebelum ini dia banyak mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan di Singapura serta terbabit dengan program radio di negara itu.

“Tawaran menyanyi memang ada tapi saya ada komitmen dengan keluarga. Sebelumnya, saya juga tolong kakak menguruskan perniagaan,” katanya.

Sanisah berkata, dia bersetuju untuk menyanyi semula selepas dipujuk Yusnor.

“Saya rasa peminat banyak yang merindui saya dan inilah masanya untuk saya menyanyi semula.

“Saya mengakui gementar untuk beraksi di IB. Perasaan sama juga dirasai ketika muncul di Esplanade tahun lalu. Saya setuju terbabit dengan konsert ini kerana perasaan teringin menyanyi semula yang membuak-buak,” katanya.

Dalam konsert itu, Sanisah bakal menyampaikan lagu Gelisah, Kisah Tuah & Teja, Ku Jangan Ditinggalkan dan medley lagu Peribahasa serta Sampaikan Hati Ini Kepadanya.

Konsert Aku, Dia & Lagu turut menampilkan penyanyi angkatan baru seperti Hafiz Suip, Imran Ajmain, Aisyah Aziz, A Rozaini, Hazama serta Datuk Fazley sebagai pengacara. Kesemuanya akan menyanyikan lagu yang liriknya ditulis oleh Yusnor Ef.

Sementara itu, Yusnor atau nama sebenarnya Mohd Noor Mohd Yusofe, 78, yang sudah menghasilkan lebih 150 lirik berterima kasih kepada IB kerana membuka peluang untuk karyanya dipentaskan di tempat berprestij ini.

Maklumat mengenai tiket sila layari laman web www.airasiaredtix.com.

Jaga ibu sakit

Ketika ditanya mengenai kisah peribadinya, Sanisah enggan bercerita.

Menurutnya, dia terpaksa menolak banyak tawaran menyanyi kerana perlu menjaga ibunya yang sakit.

“Saya memang melebihkan ibu dalam segala hal. Sekiranya ada tawaran lain selepas ini, saya kena fikirkan keadaan ibu terlebih dahulu dan akan terima jika ada saudara-mara menjaganya buat seketika.

“Sepanjang menyepi saya gembira peminat menyukai lagu saya yang diputarkan menerusi stesen radio Klasik Nasional. Saya juga belum terfikir untuk merakamkan semula lagu-lagu nyanyian saya kerana jika berbuat demikian, saya nak jadikannya lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 1:11 PM