FATIN Nurfatehah (kiri) dan Saritha mempamerkan pingat emas pada  Sukan Universiti ASEAN Palembang 2014.
FATIN Nurfatehah (kiri) dan Saritha mempamerkan pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN Palembang 2014.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Putrajaya: Atlet badminton dan memanah diletakkan harapan untuk merealisasikan sasaran meraih pingat pingat emas sulung di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Korea Selatan bulan depan.

Sejak penyertaan pertama kontinjen Malaysia di Universiade lebih 20 tahun lalu, mereka hanya mampu meraih perak dan gangsa.

Namun sasaran lebih tinggi diletakkan kali ini dengan misi di Gwangju, Korea Selatan adalah meraih pingat emas pertama negara.

“Pencapaian terbaik kita adalah pada 2011 dengan dua perak dan satu gangsa, semuanya menerusi acara terjun manakala pada 2013, kita meraih tiga gangsa menerusi badminton.

“Kali ini kontinjen negara menetapkan untuk meraih sebutir pingat emas. Kekuatan atlet kita terletak kepada badminton dan memanah selain sukan lain yang mungkin mampu menghadirkan kejutan. Saya optimis untuk meraihnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan Kontinjen Hazally Jali (gambar) selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengurus pasukan semalam.

Zulfadli Zulkiffli dan Mohd Arif Ab Latif bakal mengetuai atlet badminton manakala pemenang emas di sirkit Piala Dunia Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Saritha Cham Nong baru-baru ini menjadi sandaran.

Seramai 178 atlet dan pegawai mengambil bahagian dengan 111 daripadanya atlet yang menggalas cabaran negara dalam 15 jenis sukan disertai seperti bola sepak, badminton, memanah, olahraga, terjun, renang, menembak dan lawan pedang.

Seramai 63 daripada 111 atlet berkenaan bakal bersaing di Sukan SEA Singapura.

“Kita sedar risiko kecederaan kerana dua temasya ini berlangsung amat dekat. Namun itu risiko yang perlu kami ambil terutama untuk seseorang atlet mencapai prestasi terbaik dalam dua temasya, sesuatu yang memerlukan perancangan rapi kerana tahap Universiade juga tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:46 AM