Saingan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 yang membuka tirai secara rasmi semalam bakal mengukur kemampuan atlet negara di pentas yang dianggap setaraf dengan Sukan Olimpik.

Kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada keseluruhan 111 atlet yang dihantar ke edisi ke-28 Universiade di Gwangju, Korea Selatan adalah berstatus atlet negara yang juga berstatus pelajar di institusi pengajian tinggi negara.

Sasaran yang diletakkan kepada mereka bukanlah rendah apabila kontinjen negara kali ini mahu merealisasikan sasaran emas pertama Malaysia pada temasya sukan berkenaan sekali gus melonjakkan sukan negara ke peringkat lebih tinggi.

Ia dilihat bukan angan-angan kosong apabila atlet negara yang bersaing dalam 15 acara sukan yang dipertandingkan mempunyai kekuatan tersendiri untuk melakukannya.

Harapan pastinya disandarkan kepada empat jenis sukan utama iaitu badminton, memanah, menembak dan gimnastik artistik tanpa menafikan beberapa kejutan yang mampu dihasilkan sukan lain.

Zulfadli Zulkiffli dan Mohd Arif Latif, dua pemain berpengalaman luas menjadi harapan untuk mempamerkan ketangkasan mereka di gelanggang badminton.

Manakala prestasi atlet memanah compound negara terutamanya Fatin Nurfatehah Mat Salleh memberikan sinar untuk melakar kejutan selepas cemerlang di sirkit Piala Dunia dan Sukan SEA Singapura baru-baru ini.

Kemampuan atlet terjun negara juga tidak boleh diperkecilkan walaupun menghantar “barisan kedua” selepas Universiade 2015 terlalu hampir dengan Kejohanan Dunia.

Tanpa pemenang gangsa Olimpik 2012 Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Ooi Tze Liang, penerjun muda Traisy Vivien Tukiet dilihat masih mampu melakar kejutan di Gwangju selepas kontinjen negara sekadar membawa pulang perak dan gangsa sebelum ini.

Turut mendapat tumpuan adalah gimnas Farah Ann Abdul Hadi yang hadir menguji kemampuannya di pentas lebih tinggi selepas cemerlang di Sukan SEA.

Upacara perasmian Universiade ke-28 berlangsung dengan gemilang semalam membabitkan 14,000 atlet dari 150 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:48 AM