Oleh Siti Sofia Md Nasir


Butterworth: Dua pemilik kedai runcit masing-masing didenda RM1,000 dan RM350 oleh Mahkamah Majistret di sini, pagi ini kerana memiliki rokok seludup pada 28 Oktober lalu.

Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Kang Seng Chee, 54, dan Sahubar Jalaluddin SS Abdul Salam, 48, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Seng Chee didakwa memiliki 480 batang keretek yang bernilai RM52.80 di sebuah premis di Taman Widuri di sini, pada jam 3.15 petang 28 Oktober lalu.

Sahubar Jalaluddin pula didakwa memiliki 360 batang keretek yang dianggarkan bernilai RM18 di sebuah kedai runcit di Taman Bagan pada waktu dan tarikh yang sama.

Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan memiliki barang yang dilarang pengimportannya mengikut Peraturan Kastam dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pegawai Pendakwa Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ismahani Md Ismail, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada mereka dan pihak lain supaya tidak melakukan kesalahan menjual rokok tidak sah.

Muhammad Firdaus berkata, hukuman itu dikenakan selepas mengambil kira kepentingan awam, kekerapan kes seumpama itu dan pengakuan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 1:03 PM