Oleh Salman Hamat

Butterworth: Tiga peniaga mengaku bersalah manakala seorang lagi meminta untuk dibicarakan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini, semalam, atas pertuduhan memiliki rokok putih dan keretek tidak sah, tahun lalu.

Tiga peniaga berkenaan, Hassnamal Kachumeera, 47, Fizal Ezrie Ramli, 32, dan Zakaria Ismail, 61, masing-masing mengaku bersalah selepas faham dengan pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab manakala seorang lagi peniaga, Saira Banu Abdul Kutus, 46, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Hassnamal Kachumeera didakwa memiliki 14,600 batang rokok putih pelbagai jenama dan 480 batang keretek Gudang Garam Surya 20 bernilai RM802 di premis perniagaan 903, Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya, jam 10.30 pagi, 25 Oktober 2013.

Hassnamal didenda RM12,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Fizal Ezrie pula dituduh memiliki 3,800 batang rokok putih pelbagai jenama dan 240 batang Gudang Garam Surya 12 bernilai RM226 di Ezrie Maju Enterprise, Jalan Institut Pertanian Bumbung 5, jam 11.30 pagi, 4 Disember 2013.

Dia yang mengaku bersalah didenda RM3,500 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Manakala Zakaria didakwa memiliki 2,600 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM130 di premis D Syukur Enterprise, Taman Sungai Dua Utama, jam 12.34 tengah hari, 25 Oktober tahun lalu dan dikenakan denda RM2,000 atau berhadapan penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Saira Banu pula mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan atas pertuduhan memiliki 4,200 batang rokok putih pelbagai jenama dan 200 batang Surya 20 bernilai RM238 di Mumim Trading, Jalan Butterworth, jam 10 malam, 10 Disember 2013.

Muhammad Firdaus menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Muhammad Firdaus turut mengarahkan semua rampasan rokok berkenaan dilucut hak kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk dilupuskan.

Pendakwaan terhadap semua tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii) yang jika sabit kesalahan boleh didenda 10 hingga 20 kali ganda nilai rampasan dan penjara hingga lima tahun bagi kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Ismahani Md Ismail manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:15 AM