DUA pemilik premis perniagaan yang dijatuhi hukuman denda maksimum kerana memiliki barangan larangan import iaitu rokok putih dan keretek pelbagai jenama. FOTO Muhaizan Yahya
DUA pemilik premis perniagaan yang dijatuhi hukuman denda maksimum kerana memiliki barangan larangan import iaitu rokok putih dan keretek pelbagai jenama. FOTO Muhaizan Yahya

Ipoh: Dua pemilik premis perniagaan dijatuhi hukuman denda maksimum terhadap kesalahan memiliki barangan larangan import iaitu rokok putih dan kretek pelbagai jenama di dua Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Seorang daripada tertuduh turut diarahkan dipenjara satu hari dan dikenakan hukuman penjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Abdul Rashid K E Shaikh Dawood, 60, yang memiliki kedai runcit di Gunung Rapat, di sini didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kedainya pada 10.30 pagi 29 September lalu selepas pemeriksaan menemui sebanyak 314 paket atau 5, 726 batang rokok putih dan keretek bernilai RM472.32.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan dia yang diwakili peguam Harbajan Singh kemudian mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman denda maksimum iaitu 20 kali ganda jumlah barangan sebanyak RM9,446.40 serta penjara sehari selain penjara dua tahun jika gagal membayar denda dikenakan.

Seorang lagi tertuduh Lee Fui Mui, 33, yang juga pemilik kedai Deli Depot di Taman Cempaka, di sini didakwa mengikut akta sama kerana melakukan kesalahan memiliki barangan larangan import iaitu 1,000 batang rokok putih bernilai RM50 pada jam 7.45 malam 12 April 2013.

Fui Mui, yang diwakili peguam Chiang Mei Wan kemudian mengaku bersalah dan Majistret Suhaima Mohd Noor menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000.

Kedua-dua pertuduhan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nur Izyani Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 1:04 PM