Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: “Ia bukan salah pemain Terengganu sebaliknya tindakan pengadil tidak profesional yang mencetuskan rusuhan,” kata Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar (gambar).

Pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelahiran Terengganu itu berkata, dia bukan bersifat kenegerian tetapi mengaku sekiranya pengadil perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara skuad Penyu dan LionsXII pada Sabtu lalu, Mohd Amirul Izwan Yaacob tidak menarik balik jaringan keempat pasukan tuan rumah yang sudah disahkan sebelum itu, tentunya penyokong tidak akan naik minyak dan merusuh.

“Bagi saya kenyataan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali dengan menyalahkan pemain serta meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas kepada mereka sesuatu tindakan tidak wajar tanpa mengkaji secara terperinci,” katanya.

Hairuddin berkata demikian sebagai mengulas insiden rusuhan penyokong setia skuad Peteh sebaik tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Sabtu lalu.

“Pemain berhak meminta penjelasan daripada pengadil mengenai pembatalan jaringan keempat Terengganu itu selepas gol sebelum itu disahkan. Mereka bukannya melakukan provokasi dan tidak menghasut penyokong bertindak di luar batas.

“Jika mana-mana pemain berada dalam situasi itu, apatah lagi dalam perlawanan penting untuk layak ke perlawanan akhir sudah pasti perasaan tidak puas hati akan timbul kerana pengadil menarik balik keputusan yang sudah dibuat dan pada ketika itu pemain juga sudah meraikan jaringan.

“Oleh itu, saya berpandangan bukan pemain yang harus dihukum dan dipersalahkan tapi pengadil dan penjaga garisan akibat mereka menjadi punca kesilapan mereka sendiri kerana mengubah pendirian,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pemain Terengganu itu tidak setuju dengan tindakan Paulo Rangel dan Gustavo Lopez yang memprotes dengan cuba mengasari pengadil dan menendang bola ke arah pegawai perlawanan.

“Saya tahu sebagai pemain bukan mudah untuk mengawal emosi dalam situasi berkenaan, apatah lagi pada minit-minit terakhir tapi sebagai pemain profesional, dua pemain import itu tidak patut melakukan perbuatan sebegitu terhadap pegawai perlawanan,” katanya.

Pandangan Hairuddin turut disokong penjaga gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawe Ramli yang juga tidak bersetuju dengan Khalid kerana menyalahkan pemain dalam insiden rusuhan itu hingga pihak keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu berkata, sekiranya pengadil bijak mengawal perlawanan tentunya ribuan penyokong Terengganu tidak akan bertindak di luar batas.

“Pemain tahu pengadil ‘raja’ dalam padang tapi ketika itu kami mahu kepastian daripadanya kenapa membatalkan jaringan selepas mengesahkan gol Ahmad Nordin Alias. Bukannya kami melakukan provokasi dan cuba menghasut supaya penyokong merusuh.

“Jika (Khalid) berada dalam situasi itu, pasti beliau juga akan berasa tidak puas hati dengan tindakan pengadil,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan Khalid berpendapat tindak tanduk pemain Terengganu sendiri yang menghasut penyokong bertindak ganas menerusi lakonan mereka membantah dan mempertikaikan keputusan pengadil di tengah padang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:01 AM