GAMBAR fail. FOTO Luqman Hakim Zubir
GAMBAR fail. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar ditetapkan kembali dijual kepada kadar asal.

Beliau berkata, pada hari ini Kabinet bersetuju dengan cadangan kementerian supaya tambah nilai prabayar yang dijual pada harga RM10 akan mendapat nilai RM10 apabila diaktifkan.

Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata, kerajaan mahu pihak telco melaksanakan kaedah dan pendekatan itu sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk tambah nilai prabayar itu akan dikenakan ke atas penggunaan (usage-based).

"Kerajaan berpandangan cara ini adalah lebih wajar kerana kerajaan tidak akan mengambil cukai sebelum perkhidmatan digunakan.

"Bagi mengimbangi kesan penggunaan GST, kementerian sudah meminta pihak telco untuk menurunkan tarif perkhidmatan mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, telco juga digesa menawarkan pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:13 PM