PENGUAT kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bahagian GST, Wan Azlinda Osman memegang dua resit bayaran perkhidmatan telefon mudah alih pra-bayar yang menunjukkan kaedah catatan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berbeza semasa Ops GST yang dilaksanakan bersama JKDM dan KPDNKK Perlis. FOTO Hafizudin Mohd Safar
PENGUAT kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bahagian GST, Wan Azlinda Osman memegang dua resit bayaran perkhidmatan telefon mudah alih pra-bayar yang menunjukkan kaedah catatan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berbeza semasa Ops GST yang dilaksanakan bersama JKDM dan KPDNKK Perlis. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Siasatan akan dilakukan bagi melihat alasan syarikat telekomunikasi menaikkan harga kad tambah nilai prabayar selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang heboh diperkatakan, hari ini.

Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata, sepatutnya tiada perubahan harga bagi kad tambah nilai itu.

Katanya, sebelum GST berkuatkuasa hari ini, cukai perkhidmatan terhadap kad tambah nilai itu adalah pada kadar enam peratus.

"Justeru, apabila GST ini dilaksanakan, sepatutnya tiada perubahan harga. Sebagai contoh, jika sebelum ini nilai tambah berharga RM10, ia dianggap termasuk dengan cukai perkhidmatan.

"Kita juga sudah memberi surat kepada syarikat telekomunikasi di mana apabila beralih kepada GST, kena kekalkan harga. Misalnya, jika harga RM10 tetap dengan harga itu kerana kadar cukai adalah sama cuma nama saja berbeza iaitu cukai perkhidmatan kepada GST," katanya pada sidang media mengenai GST di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, bermula 8 pagi hingga 2 petang hari ini, Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) menerima 419 aduan dan pertanyaan mengenai GST.

"Daripada jumlah 419 aduan itu, sebanyak 118 aduan berkait elemen mengaut keuntungan berlebihan yang boleh disabitkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan.

"Aduan paling popular berkenaan kad tambah nilai dijual di pelbagai kedai dan premis dikenakan GST iaitu sebanyak 33 peratus daripada jumlah aduan diterima," katanya.

Alias berkata, tujuh notis siasatan sudah dikeluarkan kepada peniaga dan syarikat berhubung aduan berkaitan GST hari ini.

Katanya, tempoh tiga hari itu bermula hari ini diberikan bagi membolehkan peniaga dan syarikat memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

"Daripada tujuh notis itu, empat adalah berkaitan aduan kad prabayar manakala tiga daripadanya pelbagai termasuk aduan berhubung tanda harga.

"Selepas tiga hari tempoh itu, jika didapati bersalah ia akan ditentukan sama ada mengikut Akta Anti Pencatutan 2011 atau Akta Perihal Dagangan 1972," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:08 PM