Oleh Fazurawati Che Lah dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan rakyat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar pada harga jualan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, keputusan itu hanya akan diketahui selepas dibentangkan dalam Kabinet dalam masa terdekat.
“Saya sudah mendengar luahan rakyat mahu beli RM10 dapat RM10 apabila diaktifkan, jadi saya ambil keputusan mengikut kehendak rakyat.
“Saya akan panggil semua CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) syarikat telco (telekomunikasi) dan bentangkan keputusan dalam Kabinet untuk mencari formula terbaik seperti yang dikehendaki rakyat.

“Itu adalah pilihan ketiga saya beri selepas mendengar pelbagai keluhan rakyat termasuk dalam media sosial,”katanya pada sesi Program Edisi Khas di TV, malam tadi.
Beliau berkata, isu kad prabayar adalah cabaran besar yang perlu diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Rakyat perlu bersabar menggunakan kaedah sekarang dengan kadarCukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana ia membabitkan rantaian besar termasuk pengguna dan pembekal kad tambah nilai yang besar dalam negara kita.

“Mahu tukar sistem sedia ada adalah rumit ia perlu ambil masa kerana ada software (perisian) perlu diubah suai untuk tetapan kadar baru,” katanya.

Sebelum ini, isu kad tambah nilai prabayar menimbulkan kekeliruan pengguna berikutan percanggahan kenyataan dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

JKDM mengarahkan semua syarikat telekomunikasi tempatan perlu mengenakan harga asal kad tambah nilai prabayar mulai 1 Mei tanpa GST dimana arahan terbabit diambil kira berdasarkan aspek perundangan GST kad prabayar bagi perkhidmatan telefon adalah satu baucar kewangan yang mempunyai nilai muka sama dengan harga jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:35 AM