Jamal (tengah) menunjukkan sebahagian tas tangan tiruan yang dirampas di Padang Besar semalam. FOTO Hafizuddin Mohd Safar
Jamal (tengah) menunjukkan sebahagian tas tangan tiruan yang dirampas di Padang Besar semalam. FOTO Hafizuddin Mohd Safar
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Sebanyak 185 beg dan tas tangan tiruan pelbagai jenama seperti LV, Prada, Gucci dan Chanel bernilai RM13,600 dirampas dalam serbuan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis di sebuah premis di Gapura Square berhampiran Arked Niaga Padang Besar semalam.

Ketua Bahagian Penguat kuasa KPDNKK Perlis Jamal Nor Ahmad Harun berkata, serbuan pada 11.15 pagi itu dibuat selepas pihaknya mendapat aduan daripada wakil jenama berkenaan mengenai penjualan barangan tiruan menggunakan jenama itu.

"Bertindak atas aduan yang diberikan kita menyerbu premis itu dan merampas pelbagai jenis beg dan tas tangan menggunakan jenama terkenal itu. Kita mendapati premis berkenaan adalah premis terbesar di kawasan itu yang menjual barangan tiruan jenama terkenal," katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, ketika serbuan dilakukan pemilik perniagaan itu tiada di premis dan hanya penyelia premis sahaja yang berada di kedai itu.

"Kita percaya barang ini diperoleh dari negara jiran kerana berdasarkan kualitinya yang tidak menepati piawaian barangan tulen jenama itu," katanya.

Penyelia warga tempatan berumur 30 tahun itu sudah diambil keterangan dan dikenakan saman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) (B) Akta Perihal Dagangan 2011 dimana sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 4:03 PM