KATALOG disediakan sebelum pelanggan dibawa masuk ke dalam stor.
KATALOG disediakan sebelum pelanggan dibawa masuk ke dalam stor.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Hanya dijual kepada pelancong asing. Itu taktik digunakan penjual beg tangan berjenama tiruan di Jalan Petaling di sini, bagi memastikan kegiatan mereka tidak dihidu pihak berkuasa.

Difahamkan, pelanggan membabitkan pelancong Timur Tengah dan Eropah kemudian dibawa ke stor simpanan beg tangan itu untuk membuat pilihan model beg diingini.

Kegiatan licik itu bagaimana pun terbongkar selepas premis yang terletak di tingkat 1 sebuah bangunan lama itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, sebanyak 435 unit beg tangan berjenama LV, Gucci, Prada, Hermes dan Channel dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dirampas.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu premis berkunci berkenaan.

“Sindiket sengaja membiarkan premis itu tanpa penjaga dan hanya mengunci pintu seperti biasa bagi memudahkan proses urus niaga dijalankan.

“Mereka disyaki membawa masuk barangan tiruan ini dari China sebelum dijual dengan harga tinggi antara RM1,000 hingga RM3,000 seunit,” katanya.

Katanya, penjual yang sudah menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu sengaja memilih pelancong asing kerana mereka boleh menjual barangan itu dengan harga yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 7:14 AM