Kuala Lumpur: Tindakan empat peniaga menjual barangan tiruan jenama terkenal di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Bukit Bintang gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila premis jualan mereka diserbu, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, produk yang dijual di premis berkenaan didakwa diimport khas dari luar negara, bagaimanapun wakil pemilik sah cap dagang jenama itu mengesahkan produk berkenaan tiruan.

Kegiatan itu dibongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menjalankan risikan selama seminggu sebelum melakukan serbuan.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, serbuan dijalankan hasil aduan dan kerjasama wakil pemilik cap dagang yang sah.

“Dalam serbuan ini, KPDNKK merampas 152 pelbagai produk jenama terkenal antaranya tali pinggang, dompet, beg tangan, topi dan pemegang kad jenama Louis Vuitton dan Gucci.

“Semua produk dirampas itu bernilai RM4,330. Pelanggan diperdaya dengan dakwaan barangan dijual tulen dan diimport khas dari Eropah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:20 AM