FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 59, Jalan Kuala Lumpur - Kuala Lipis berdekatan Dataran Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini, kira-kira 9 pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa Zulhafiz Zulkifli, 21, dari arah bandar Kuala Kubu Bharu dipercayai hendak memasuki kawasan dataran namun dirempuh sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, siasatan awal polis mendapati pemandu kereta yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak motosikal mangsa yang dikatakan secara tiba-tiba membelok.

"Pemandu kereta itu dari Kerling hendak menghala ke Darul Quran sebelum tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan masuk ke simpang kanan secara mengejut.

"Kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu melanggar motosikal mangsa," katanya.

Beliau berkata, penungang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.11

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 3:11 PM