HAMILTON antara pemandu yang menerima gaji tertinggi.
HAMILTON antara pemandu yang menerima gaji tertinggi.
Reuters

London: Kontrak baru Lewis Hamilton yang amat dinanti-nantikan bersama Mercedes mungkin diumum pada perlumbaan di Monaco, minggu depan.

Menafikan laporan media yang mendakwa rundingan itu terencat kerana faktor wang, juara dunia dua kali itu membayangkan semuanya berjalan lancar dengan pengumuman mengenainya tidak lama lagi.

“Anda akan ketahuinya di Monaco, saya ada beberapa berita buat anda di Monaco,” kata pemandu Britain itu selepas Grand Prix Sepanyol di Barcelona, Ahad lalu.

Laporan media membayangkan pemandu berusia 30 tahun itu yang mendahului rakan sepasukan dari Jerman, Nico Rosberg 20 mata selepas lima perlumbaan, bakal meraih lebih AS$40 juta (RM144.5 juta) setahun dengan kontrak baru itu.

Hamilton tamat kontrak hujung musim ini dan kemelut rundingan menyebabkan media sibuk sejak tahun lalu sebelum rundingan itu ditangguhkan untuk menumpukan kepada pemburuan kejuaraan.

Dia memberitahu wartawan sebelum Grand Prix Malaysia Mac lalu semuanya sudah selesai 99.6 peratus dengan hanya ‘urusan perundangan’ belum ditangani.

BBC melaporkan Mac lalu Hamilton yang berunding sendiri dengan Mercedes, akan menerima hampir sama gaji asas berbanding kontrak pertama bersama pasukan disertai pada 2013.

Bagaimanapun sumber lain menegaskan kontrak itu lebih lumayan sejajar dengan kejayaan dan statusnya.

Hamilton yang menang kejuaraan sulung bersama McLaren pada 2008, seorang daripada tiga pemandu dengan gaji termahal sukan itu selain pemandu Ferrari, Sebastian Vettel dan Fernando Alonso dari McLaren.

Juara dunia itu berakhir di tangga kedua di Sepanyol, tewas kali pertama musim ini di tangan Rosberg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:21 AM