GAMBAR yang dimuat naik Hamilton di Twitter dan Instagram. FOTO Lewis Hamilton
GAMBAR yang dimuat naik Hamilton di Twitter dan Instagram. FOTO Lewis Hamilton
AFP

London: Lewis Hamilton menamatkan sikap membisu di media sosial ketika spekulasi mengenai masa depan pemandu Mercedes Formula Satu (F1) itu terus mencetuskan persoalan.

Hamilton tidak aktif di media sosial sejak dinafikan kejuaraan dunia kali kelapan dekat Grand Prix Abu Dhabi, Disember tahun lalu.

Pemandu berusia 37 tahun itu terlepas kejuaraan dunia daripada Max Verstappen pada perlumbaan terakhir yang penuh kontroversi.

Ketika khabar angin membayangkan dia mungkin akan bersara, Hamilton yang masih mempunyai kontrak bersama Mercedes sehingga 2023 mula memberi komen pertamanya.

Menerusi Twitter dan Instagram miliknya, Hamilton memuat naik gambar dirinya tersenyum di Grand Canyon dengan keterangan gambar: "Saya sudah lama menghilang. Sekarang saya kembali!"

Bagaimanapun masa depan Hamilton di saingan F1 masih belum dapat dipastikan.

Mercedes akan melancarkan kereta baharu F1 di Silverstone pada 18 Februari ini, lima hari sebelum sesi ujian rasmi pertama di Barcelona.

Hamilton yang berkongsi rekod tujuh kejuaraan dunia bersama-sama Michael Schumacher, dijangka akan hadir pada majlis pelancaran itu dengan rakan sepasukan baharu, George Russell.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 11:46 AM