REAKSI Hamilton selepas tamat perlumbaan di  Spielberg, Austria. FOTO AFP
REAKSI Hamilton selepas tamat perlumbaan di Spielberg, Austria. FOTO AFP
Agensi

Spielberg: Lewis Hamilton mengakui Mercedes semakin jauh ketinggalan di belakang Red Bull selepas Max Verstappen menjuarai perlumbaan ketiganya di Grand Prix Austria semalam.

Dengan Sergio Perez menang di Azerbaijan dan Verstappen di Monaco, Red Bull kini menjuarai lima Grand Prix berturut-turut.

Hamilton yang kali terakhir muncul juara di Grand Prix Sepanyol pada 9 Mei menandatangani kontrak baharu dua tahun kelmarin.

Tetapi pelumba Britain yang semakin terdesak itu menggesa pasukannya melakukan pembaharuan.

Selepas kecewa di GP Austria yang menyaksikan dia menduduki tempat keempat, juara dunia tujuh kali berkata: "Kami makin jauh tertinggal di belakang [Red Bull].

"Kami perlukan semua tangan di dek. Mereka giat menaik taraf jentera sejak beberapa perlumbaan tetapi kami belum walau satu pun.''

Hamilton, 36, bermula di petak keempat tetapi berjaya menyayingi bintang Red Bull, Sergio Perez dan Lando Norris pada peringkat awal perlumbaan.

Tetapi dia kembali tercicir ke tempat dia bermula ketika pusingan ke-54 manakala Verstappen menamatkan perlumbaan dengan mudah.

Kemenangan itu membolehkan Verstappen mendahului kejuaraan pemandu dengan 182 mata, 32 mata mengatasi Hamilton menjelang perlumbaan seterusnya di Grand Prix British di Silverstone, 18 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 1:05 PM