HAMILTON (dua dari kiri) berhenti di hentian pit ketika GP Monaco.
HAMILTON (dua dari kiri) berhenti di hentian pit ketika GP Monaco.

London: Juara Formula Satu dunia Mercedes duduk berbincang di kilang mereka semalam selepas melakukan satu daripada kesalahan strategi paling memalukan pada Grand Prix Monaco.

Sekalipun mereka menang perlumbaan Ahad lalu bagi kali ketiga berturut-turut menerusi pemandu Jerman, Nico Rosberg, tajuk utama akhbar lebih berkisar bagaimana pasukan penuh dominan itu mensia-siakan kemenangan yang pasti buat Lewis Hamilton.

Hamilton menguasai perlumbaan sehingga kereta keselamatan digunakan 14 pusingan sebelum tamat dan pemandu Britain itu dipanggil ke hentian pit ketika pencabarnya kekal di litar.

Juara dunia itu berakhir di tangga ketiga dan pendahuluannya ke atas Rosberg berkurangan kepada 10 mata.

Ketua sukan permotoran Mercedes, Toto Wolff berkata, taklimat panjang membabitkan kira-kira 100 petugas dari kilang, enjin dan operasi di litar pada petang Ahad lalu.

“Kami berbincang mengenainya dan kembali bermesyuarat Selasa (semalam) untuk menganalisisnya dan kemudian mengenal pasti kesilapan,” kata warga Austria itu.

Hamilton yang tidak bersama ketika taklimat selepas perlumbaan serta tugasan media di Monaco, tidak mungkin hadir selepas sukar membayangkan apa yang berlaku.

Bekas pemandu David Coulthard menyatakan pemandu Britain itu jelas kemurungan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:54 AM