KIRA-KIRA 500 pendatang dari Myanmar dan Bangladesh menaiki bot menangkap ikan ini sebelum ditemui hanyut di Aceh, Ahad lalu.
KIRA-KIRA 500 pendatang dari Myanmar dan Bangladesh menaiki bot menangkap ikan ini sebelum ditemui hanyut di Aceh, Ahad lalu.
AFP

Jakarta: Tentera laut Indonesia menunda sebuah bot yang membawa ratusan pendatang Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh kembali ke Selat Melaka untuk menuju ke Malaysia, kata pegawai semalam.

Jurucakap tentera laut, Manahan Simorangkir semalam berkata, empat kapal Indonesia membantu sebuah bot yang membawa kira-kira 500 penumpang berhampiran perairan Tanjung Jambu Aye di utara Aceh.

“Semua penumpang masih hidup dan berada dalam keadaan baik.

“Mereka hanya meminta bantuan dan tidak mahu datang ke Indonesia kerana destinasi mereka adalah Malaysia,” katanya.

Ujarnya, tentera Indonesia memberi bantuan makanan, air dan bekalan perubatan sebelum menunda kapal mereka ke Selat Melaka.

Beberapa hari lalu, dua bot yang membawa 1,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh diselamatkan di Aceh.

Kedatangan jumlah pendatang yang ramai itu menyebabkan pihak berkuasa Aceh berdepan masalah menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada mereka.

Beberapa bot juga dijumpai tiba di perairan Malaysia dengan membawa ratusan penumpang.

Pendatang Rohingya dan Bangladesh meninggalkan negara asal mereka bagi melarikan diri daripada konflik perkauman serta kemiskinan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:20 AM