HASAN Puteh, 49, sedang menyiapkan pukat untuk menangkap ikan .
HASAN Puteh, 49, sedang menyiapkan pukat untuk menangkap ikan .
MOLI Kubing, 28, dan anak-anaknya bermain di rumah baru mereka.
MOLI Kubing, 28, dan anak-anaknya bermain di rumah baru mereka.
ANAK-anak Orang Asli sedang membantu bapa mereka menangkap ikan.
ANAK-anak Orang Asli sedang membantu bapa mereka menangkap ikan.
RUMAH baru penempatan Orang Asli Pulau Carey.
RUMAH baru penempatan Orang Asli Pulau Carey.
KAMET sedang membetulkan bebola pelampung sebagai persediaan menangkap ikan di jeti pangkalan di Pulau Carey.
KAMET sedang membetulkan bebola pelampung sebagai persediaan menangkap ikan di jeti pangkalan di Pulau Carey.
Oleh Mohamad Hussin

Apabila disebut Orang Asli, generasi masa kini mungkin tidak dapat membayangkan sumbangan mereka kepada negara. Ini kerana kita dibelenggu kefahaman bahawa mereka masih hidup berpindah-randah.

Hakikatnya, Orang Asli kini jauh lebih baik dan ada antara mereka menjadi usahawan berjaya malah mencapai kejayaan cemerlang di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bertamu di Perkampungan Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor, baru-baru ini memberi gambaran luas kepada penulis corak kehidupan kaum terbabit.

Penulis sempat mengunjungi lima kampung Orang Asli iaitu Kampung Sungai Judah, Kampung Bumbun, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kepau Laut dan Kampung Sungai Kurau.

Melihat susuk tubuh dan corak kehidupan kaum Mah Meri berkenaan tidak ubah seperti penduduk pribumi lain.

Mereka masih mengekalkan budaya dan adat resam lama nenek moyang termasuk mengamalkan kepercayaan animisme.

Asimilasi budaya masyarakat setempat turut mendedahkan mereka dengan budaya beragama, malah ada memeluk Islam.

Jika selalunya, Orang Asli dikaitkan dengan hutan dan alam semula jadi, namun tanggapan itu jauh berbeza.

Mengenali Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Judah, Daiman Peron, 55, dalam tempoh singkat membuka ruang perkenalan penulis dengan kaum Mah Meri dan mendapatkan banyak maklumat mengenai mereka.

Bila diamati daripada raut wajah mereka tidak banyak beza dengan masyarakat Melayu, tetapi mereka mempunyai kepakaran luar biasa mengenai kehidupan laut.

Sebut saja sisi laut, mereka seperti memiliki radar dan tahu lubuk mana yang mempunyai kelompok ikan, ketam dan udang.

Kelebihan itu jarang dimiliki nelayan pantai lain yang hanya bergantung kepada pukat, jaring dan jala ditebarkan.

Daiman berkata, kebanyakan Orang Asli bekerja sebagai nelayan sebagai punca pendapatan utama menyara keluarga.

Beliau berkata, seramai 13 nelayan Orang Asli Kampung Sungai Judah berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kuala Langat, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan.

“Kami bekerja sebagai nelayan pantai dan laut dalam. Kami akan keluar rumah mencari rezeki jam 6 pagi dan pulang pada 2 atau 3 petang.

“Biasanya nelayan laut dalam mendapat hasil lumayan seperti ikan belanak, siakap, kerapu, senangin, tenggiri dan cencaru manakala nelayan pantai menangkap ketam atau udang,” katanya.

Katanya, selepas ditolak kos minyak dan sewa bot, mereka mendapat keuntungan bersih sekitar RM30 hingga RM40 sehari.

Bagi Kamet Anak Kadir, 56, berpengalaman selama 20 tahun sebagai nelayan membolehkan dia menjual ikan kepada peraih sekitar harga RM16 hingga RM18 sekilogram.

“Sepanjang bekerja sebagai nelayan, saya membeli bot sendiri dengan harga RM20,000 yang disimpan sejak beberapa tahun lalu,” katanya yang mempunyai enam anak yang berusia antara 18 hing­ga 35 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan (JKK) Orang Asli Kampung Sungai Judah, Bidin Loya, 41, berkata seramai 470 penduduk membabitkan 100 keluarga menetap di kampung berkenaan.

“Kebanyakan penduduk kampung Orang Asli ini bekerja sebagai nelayan dan penoreh kelapa sawit sejak berpuluh tahun dulu. Banyak pembaharuan yang dikecapi antaranya rumah baru yang dibina kerajaan untuk Orang Asli.

“Namun ada juga segelintir penduduk yang masih menetap di rumah buluh kerana sudah biasa sejak turun temurun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:32 PM