Shahrul M Zain


MENYUSURI Tanjung Senimpul, Pitas, Sabah menaiki bot bersama nelayan, Harri Demang, 59, sambil menyaksikan keindahan alam semula jadi sukar diungkapkan dengan kata-kata. Ia menjadi satu pengalaman paling bermakna.

Mata terpaku melihat perubahan tiga warna alam hanya dalam satu jam perjalanan dengan bot bagaikan layar gergasi berlatarkan suasana indah matahari terbenam. Sesekali kedengaran bunyi ombak menghempas lantai bot dan angin yang bertiup dingin.

Sesekali juga terpandang struktur binaan kayu bersegi empat yang berdiri teguh biar pun hempas gelora ombak kecil.

Struktur binaan ini dikenali sebagai Bagang Pacak oleh masyarakat tempatan. Bagang adalah signifikasi kepada daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas selain industri pengeluaran ikan bilis di Pantai Barat Sabah.

Bagang Pacak banyak dilihat di pesisiran pantai ini dan Bagang umpama sebuah bank di laut yang memerlukan nelayan berusaha membuat pelaburan bijak dalam industri ikan bilis di pasaran tempatan sehingga Semenanjung dan ada yang dieksport ke luar negara seperti Brunei dan Singapura.

Bagi nelayan seperti Harri yang lebih 20 tahun bergelumang dengan dunia laut sangat bergantung kepada hasil ikan bilis daripada bagang tradisional miliknya yang dibina hasil usaha bersama masyarakat tempatan secara bergotong-royong.

ISMAIL (dua dari kiri) sering bertemu penduduk yang terdiri daripada nelayan. FOTO Shahrul M Zain
ISMAIL (dua dari kiri) sering bertemu penduduk yang terdiri daripada nelayan. FOTO Shahrul M Zain

Berbekalkan bimbingan dan bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), nelayan bilis dan pengusaha bilis kini mampu meningkatkan pengeluaran serta menjamin kualiti produk mereka ke tahap yang lebih baik memandangkan permintaan yang tinggi terhadap ikan bilis.

Di daerah Pitas terdapat hampir 150 bagang tradisional yang menghiasi pesisiran pantai dan pemandangan ini lebih menarik dilihat ketika matahari terbenam serta malam kerana cahaya lampu bagaikan mutiara bercahaya di laut.

Beliau pernah bekerja di kilang kayu kemudian mengambil keputusan menjadi nelayan sepenuh masa selepas kilang itu ditutup.

Sejak itu Harri tidak lagi bekerja dengan orang lain sebaliknya menumpukan perhatian kepada laut dan membesarkan empat anaknya sehingga berjaya melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi. Kini seorang anaknya bergelar pendidik.

Anak sulungnya, Adhar juga kini bekerja dan menguruskan bagang di laut dan didapati belia yang terbabit secara langsung dengan industri ini kerana mewarisi pekerjaan orang tua mereka.

GOTONG-ROYONG membuat beg pasir untuk kegunaan bagang tradisional. FOTO Shahrul M Zain
GOTONG-ROYONG membuat beg pasir untuk kegunaan bagang tradisional. FOTO Shahrul M Zain

Mendekati kehidupan nelayan di Kampung Tanjung Senimpul ini membuatkan penulis teruja. Masyarakatnya berbilang suku dan kaum dapat hidup harmoni serta bekerjasama khususnya ketika gotong- royong secara sukarela membina Bagang Pacak.

Menurut Ketua Kampung, Ismail Yahya, 60, masyarakat di kampung ini terdiri daripada suku Bajau, Sungai, Bugis, Banjar, Suluk dan Dusun.

“Kira-kira 90 peratus menjadikan laut sebagai sumber rezeki utama dan selebihnya pekerja swasta dan kerajaan.

“Bagang Pacak adalah contoh bagaimana orang luar boleh melihat penduduk kampung bekerjasama dan toleransi antara suku ini dalam membina bagang sehingga boleh disiapkan dalam tiga minggu sebelum beroperasi,” katanya.

Selaku ketua kampung, beliau memikul tanggungjawab memastikan Kampung Pinggan-Pinggan dan Kampung Tanjung Senimpul di Kota Marudu tidak hanya dikenali sebagai kampung pengeluaran ikan bilis semata-mata. Malah berpotensi sebagai lokasi pelancongan inap desa tepi laut yang menarik.

DUA kanak-kanak asyik memerhatikan penulis ketika mengunjungi Kampung Pinggan-Pinggan. FOTO Shahrul M Zain
DUA kanak-kanak asyik memerhatikan penulis ketika mengunjungi Kampung Pinggan-Pinggan. FOTO Shahrul M Zain

“Saya mengalu-alukan kemahiran dan kedatangan pelawat untuk merancakkan lagi ekonomi penduduk di samping bimbingan serta bantuan seperti langkah yang diambil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang berjaya membantu meningkatkan pendapatan nelayan di sini.

“Kota Marudu terkenal kerana sering menjadi tuan rumah bagi Pesta Kaamatan dan Pesta Bengkoka setiap tahun yang disambut hampir seminggu. Pelbagai aktiviti seperti Unduk Ngadau, Sugandoi dan persembahan kebudayaan pelbagai suku kaum dikumpulkan di sini,” katanya.

Katanya, ketika sambutan perayaan ini, pelbagai suku kaum datang untuk memeriahkannya selain pelancong turut berpeluang mendekati dan merasai keunikan budaya tempatan dengan jualan cenderamata serta kraf tangan untuk dibawa pulang.

Pelbagai kemudahan penginapan yang berpatutan, selain lokasi memancing terbaik dengan pemandangan laut yang indah dan makanan laut boleh dicuba pengunjung. Diharapkan keperluan ini akan ditambah lagi pada masa hadapan.

Andai ada yang bertanya ke mana destinasi dalam negara yang perlu dikunjungi? Pasti penulis tidak teragak-agak untuk memperkenalkan Pitas di Pantai Barat Sabah sebagai lokasinya kerana satu-satunya lokasi berpotensi tinggi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 11:17 AM
MASYARAKAT berbilang suku dan kaum hidup harmoni, gotong-royong bina Bagang Pacak
MASYARAKAT berbilang suku dan kaum hidup harmoni, gotong-royong bina Bagang Pacak