Sydney: Peguam kepada dua warga Australia yang bakal dijatuhi hukuman mati bulan ini merancang untuk mencabar keputusan Presiden Jokowi, lapor media semalam.

Todung Mulya Lubis memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia, dia merancang membuat percubaan terakhir bagi menyelamatkan Andrew Chan dan Myuran Sukumaran daripada berdepan skuad penembak tepat pada hari hukuman mati mereka dilaksanakan.

Kata Todung, dia akan mencabar ketetapan Jokowi enggan mengampunkan Chan dan Sukumaran.

Kedua-dua banduan itu adalah pesalah dadah yang ditangkap di Bali.

“Langkah seperti ini jarang diambil tetapi saya yakin Jokowi tidak akan menolaknya begitu saja,” katanya.

Jokowi mengamalkan dasar tegas terhadap pesalah dadah sejak dilantik ke jawatan presiden pada tahun lalu.

Setakat ini tiada seorang pun pesalah dadah mendapat pengampunan daripada Jokowi, sebaliknya sesetengah mereka sudah pun ditembak mati.

Kata Todung, barisan peguam sudah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan nyawa kedua-dua pengedar dadah terbabit

“Jokowi perlu mempertimbangkan setiap kes berdasarkan merit dan mengambil kira keadaan Chan dan Sukumaran yang sudah hampir 10 tahun dipenjarakan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:30 AM