Antara PATI yang ditahan dalam Ops Nyah 1 di Tanjung Sepat, Kuala Langat, hari ini. Foto Ihsan PGA
Antara PATI yang ditahan dalam Ops Nyah 1 di Tanjung Sepat, Kuala Langat, hari ini. Foto Ihsan PGA
Mohd Azam Shah Yaacob


CUBAAN 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini menerusi perairan Tanjung Sepat, Kuala Langat tidak kesampaian apabila ditahan dalam Ops Nyah 1 Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 6 pagi tadi.

Kesemua PATI itu ditahan selepas terpedaya dengan helah anggota Cawangan Risik Batalion 4 yang diketuai Inspektor Nazrul Hisham Musa menyamar sebagai tekong darat sedang menunggu PATI di kawasan pantai berkenaan.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kesemua 54 PATI yang ditahan itu membabitkan 44 lelaki Bangladesh, tujuh wanita perempuan dan tiga lelaki Myanmar bersama tiga tekong warga Indonesia.

Menurutnya, sebelum itu pasukan keselamatan terbabit sedang memantau kawasan pantai berkenaan dan ternampak sebuah bot pancung menghampiri perairan.

“Sebaik menghampiri pantai, bot berkenaan kemudian berhenti dan seramai 25 warga asing dilihat terjun ke laut dan berenang ke tepi pantai.

“Selepas itu, datang sebuah lagi bot pancung menghampiri kawasan pantai dan pasukan yang menyamar kemudiannya bertindak menghampiri tekong yang mengemudi bot kedua,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Ghani berkata, sebaik dihampiri seorang tekong warga Indonesia itu kemudiannya turun dari bot dan memaklumkan ‘sudah habis bang’.

Menurutnya, pegawai berkenaan kemudiannya mengajak lelaki itu ke belakang kenderaan sebelum memperkenalkan diri sebagai polis dan menahan suspek.

“Sebaik berjaya menahan tekong pertama, pegawai bersama anggota lain itu kemudian menghampiri bot sebelum menahan dua lagi lelaki Indonesia bersama PATI yang menaiki dua bot berkenaan.

“Kesemua yang ditahan itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan.

“Hasil siasatan dijalankan, kesemua PATI berkenaan mengaku membayar sebanyak RM14,000 seorang kepada sindiket yang dikenali sebagai Kumpulan Arul dari Indonesia,” katanya.

Menurutnya, PGA turut merampas sebuah bot pancung bersama dua enjin yang dianggar bernilai RM200,000 serta seunit telefon bimbit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:37 PM