Tokyo: Sebuah zoo di Oita, Jepun yang menimbulkan kemarahan orang ramai kerana menamakan anak monyet Charlotte, sama dengan puteri baru Britain diarah mengekalkan nama itu oleh datuk bandarnya selepas isu itu puas didebatkan selama dua hari.

Taman Monyet Liar Gunung Takasaki di Oita dibanjiri aduan selepas pengumuman nama itu dibuat melalui undian orang ramai yang mahu beruk itu dipanggil Charlotte, hanya beberapa hari selepas keluarga diraja Britain mengumumkan nama puteri baru mereka.

Cerita itu menjadi tajuk utama di seluruh dunia sejak kelmarin menyebabkan pihak zoo menawarkan permohonan maaf jika pemilihan nama itu menghina anak Putera William dan isterinya Catherine.

Lebih 500 orang menghubungi taman itu sejak dua hari lalu menyuarakan pendapat mereka mengenai nama itu, malah ramai mendesak nama itu digugurkan.

“Pada mulanya kebanyakan aduan mengatakan ia dilihat sebagai tidak menghormati rakyat Britain, namun lama-kelamaan ada juga yang menyokong dan bersetuju dengan nama itu kerana merasakan anak monyet itu comel,” kata seorang pegawai di Oita.

Dalam pada kontroversi mengenai isu itu semakin meluas di media sosial, televisyen dan akhbar, pegawai tempatan turut meminta pandangan daripada kedutaan Britain di Tokyo - yang enggan mengulas isu itu - sebelum akhirnya Datuk Bandar Kiichiro Sato menamatkan perdebatan itu dengan satu keputusan muktamad.

“Saya rasa orang ramai memberikan nama yang sangat cantik, iaitu Charlotte. Saya tiada masalah dengannya, jadi kita akan terus kekalkan nama itu,” kata Sato. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:26 AM