ANNA Reichel meniru gaya Kate Middleton sejak tiga tahun lalu. FOTO Agensi
ANNA Reichel meniru gaya Kate Middleton sejak tiga tahun lalu. FOTO Agensi
Agensi

Addis Ababa (Ethiopia): Wanita ini taasub dengan keluarga diraja Britain sejak kecil lagi selepas didedahkan dengan program diraja itu yang tersiar di televisyen.

Ketaasubannya semakin menyerlah sejak tiga tahun lalu apabila mula membeli pakaian menyerupai apa yang dipakai Duchess of Cambridge, Kate Middleton.

Anna Reichel, 33, yang tinggal di Ethiopia sudah membelanjakan £3,000 (RM17,146) untuk membeli gaun dan aksesori digayakan isteri Putera William itu.

Katanya, dia teringin menjadi seperti Kate yang cantik dan menawan apabila pertama kali melihat gambar puteri itu meninggalkan hospital selepas melahirkan Puteri Charlotte.

Sejak itu, dia menghasilkan semula 100 pakaian pelbagai jenis yang menyerupai apa dipakai Kate.

"Ketika saya mengandung tiga tahun lalu, saya mahu kelihatan secantik Kate selepas beliau melahirkan Puteri Charlotte. Ada banyak gambarnya dalam talian dan beliau sering bergaya kasual.

"Saya sukakan gaya kasual kerana kita tidak mungkin dapat bergaya dengan gaun dan dress panjang secara kerap, tetapi jean dan blazer sangat sesuai dipakai.

"Kebanyakan pakaian saya beli daripada kedai terpakai. Lagipun Kate banyak memakai pakaian yang asas seperti kemeja putih, sekali gus mudah digayakan semula dan tampak sederhana," katanya yang dilapor Mirror UK.

Anna memberitahu dia mempunyai bilik persalinan besar yang menyimpan semua pakaian istimewanya itu dan katanya "ia semakin besar setiap hari."

Menurutnya, dia menjadi peminat kerabat diraja Britain sejak kecil dan neneknya sering memberi galakan kepadanya untuk menonton program diraja dalam televisyen.

Ibu dua anak yang asalnya dari Jerman itu berkata, "nenek saya sangat sukakan Puteri Diana, jadi kami menonton semua program diraja. Di situlah semuanya bermula," katanya.

Wanita itu juga banyak berbelanja di gedung pakaian seperti Zara, H&M, Mango, Vinted, Poshmark selain eBay, malah membeli daripada kedai di United Kingdom.

Anna bukan satu-satunya wanita yang menjadikan Kate sebagai inspirasi dalam bergaya, sebaliknya Katie Wolfe, 36, mula menata gaya seperti Kate sejak lima tahun lalu dan sudah membelanjakan AS $2,000 (RM8,316).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:30 AM