MILAD.
MILAD.
AFP

Sydney: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa semalam kerana mengumpul dana untuk menyokong aktiviti kumpulan militan Daish, kata polis Australia yang turut memberi amaran terhadap trend terbaru remaja terbabit dalam aktiviti seumpama itu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis New South Wales, Catherine Burn, remaja terbabit ditahan pagi semalam bersama seorang lelaki berusia 20 tahun di Guildford, pinggir bandar Sydney.

“Kami mendakwa mereka terbabit mengumpul dana untuk dihantar ke luar negara bagi membantu Daish dalam aktivitinya.

“Remaja perempuan itu tiada rekod jenayah atau di bawah pengawasan kami, tetapi ia amat membimbangkan apabila melihat semakin ramai remaja terbabit dalam aktiviti yang tidak sepatutnya ini,” kata Catherine.

Sementara itu, lelaki berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Milad Atai dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membiayai keganasan.

Dia tidak dibenarkan jaminan dan dijadualkan menghadiri satu lagi perbicaraan di Sydney hari ini.

Menurut Polis Persekutuan Australia, remaja perempuan itu berdepan hukuman maksimum 25 tahun penjara jika didapati bersalah.

Catherine tidak menyatakan berapa banyak dana yang berjaya mereka kumpulkan, tetapi berkata terdapat beberapa orang di negara ini mengumpul dana untuk membiayai keganasan dan menghantarnya ke luar negara.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Persekutuan bagi keselamatan negara Michael Phelan berkata, pengumpulan dana itu tiada kaitan dengan sebarang perancangan serangan di Australia selain menegaskan tiada ancaman langsung kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:50 AM