TAHAP kesihatan Jin  Wei  belum pulih 100 peratus.
TAHAP kesihatan Jin Wei belum pulih 100 peratus.
Ferzalfie Fauzi

SELEPAS terlepas aksi Terbuka New Zealand, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tidak dijangka berdepan masalah untuk disenaraikan ke Piala Sudirman yang berlangsung Ahad depan di Nanning, China.

Perkara ini disahkan ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock yang sentiasa memantau perkembangan Jin Wei dan mengubah jadual latihan bersesuaian dengan tahap kesihatan juara remaja dunia itu.

"Dari segi kesihatan dia masih belum sembuh sepenuhnya, namun saya tetap akan membawanya ke Piala Sudirman, lagi pun ada seorang lagi pemain bersamanya, Soniia Cheah.

“Saya tidak mempunyai pilihan, perlu bawa yang terbaik," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

Disebabkan Piala Sudirman adalah acara berpasukan dan tidak sama seperti kejohanan biasa, Seu Bock yakin Jin Wei mampu menyesuaikan diri walaupun tahap kesihatannya masih belum 100 peratus sembuh.

"Bukan setiap hari ada perlawanan, lagi pun hanya dua aksi saja (peringkat kumpulan).

Saya memerlukan pemain terbaik. Saya juga memberi kelonggaran dalam latihan jika dia rasa kurang sihat sebelah pagi dia hanya akan datang di sebelah petang.”

China menyenaraikan He Bingjiao dan Han Yue untuk perseorangan wanita, manakala India pula PV Sindhu dan Saina Nehwal.

Jin Wei mempunyai rekod baik berdepan Bingjiao apabila mendahului 3-2, manakala dia pernah tumpas kepada Han Yue dalam pertemuan sulung mereka di Kejohanan Remaja Dunia 2017.

Malaysia akan memulakan aksi berdepan China Ahad depan dan aksi terakhir peringkat kumpulan pada 21 Mei menentang India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:21 PM