Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Biarpun menang tipis, saya tetap puas hati kerana pemain memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II),” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan (NS) Matrix) K Devan NS Matrix meraih tiga mata berharga selepas menjinakkan JDT II, 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin.

Penyerang Francis Forkey Doe dan pemain pertahanan, Jean Marc Alexandre menjaringkan gol untuk melonjakkan skuad Hoben Jang Hoben ke tangga kelima carta dengan 14 mata, manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Nicolas Delmonte.

Bagi Devan, kemenangan itu amat bermakna dalam usaha meletakkan pasukan di landasan tepat bagi merealisasikan impian beraksi dalam Liga Super musim depan.

“Saya juga puas hati dengan persembahan penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias yang beraksi cemerlang.

“Bagaimanapun, prestasi jentera serangan pasukan perlu diperkemaskan lagi terutama kombinasi antara Doe, Kim Jin Ryong dan Shahrizal Mohd Saad bagi memastikan gandingan mereka lebih menyerlah,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 8:39 AM