AMIRUDDIN   (kiri) bersama Setiausaha Agung  KRM   Suhaimi Zainuddin pada majlis penghargaan KRM-Media   di Hotel Best Western.
AMIRUDDIN (kiri) bersama Setiausaha Agung KRM Suhaimi Zainuddin pada majlis penghargaan KRM-Media di Hotel Best Western.

Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Wira Amiruddin Embi menaruh harapan besar stadium baru khusus untuk sukan itu akan dibina tidak lama lagi.

Katanya, jaminan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membina stadium itu menunjukkan Menteri Belia dan Sukan berkenaan serius dalam mengembangkan sukan ragbi yang kini semakin mendapat perhatian ramai.

“Bagi pihak KRM, kami berkeyakinan penuh stadium itu akan dibina berdasarkan reaksi menteri dan beliau juga sudah bercakap dengan saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan PM (Perdana Menteri) sebelum dimuktamadkan.

“Saya rasa peluang pembinaan stadium itu sesuatu yang baik. Bukan saja akan ada satu tempat latihan malah juga gelanggang perlawanan.

“Biar menteri sendiri mengumumkan perkara ini, tapi kami amat yakin ia akan menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan KRM-Media di Hotel Best Western, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, tiga venue pernah dicadangkan untuk dijadikan stadium ragbi iaitu Stadium Merdeka, Stadium Kelana Jaya dan Pusat Ekuestrian Putrajaya susulan kejayaan pasukan ragbi kebangsaan muncul juara divisyen satu Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada awal Mei lalu.

Selain itu, Amiruddin berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menjanjikan peruntukan RM1 juta bagi melaksanakan program pembangunan ragbi.

“Perkara pokok adalah kemudahan. Ini kerana dengan wujudnya kemudahan, ia secara tidak langsung akan dapat membantu sukan ini.

“Bayangkan untuk menganjurkan pertandingan kebangsaan atau latihan pusat skuad negara, kami terpaksa bermain di pelbagai tempat.

“Kami kena sewa padang untuk menganjurkan apa jua pertandingan atau latihan dan ia bukan murah.

“Tapi jikalau semua kemudahan itu ada, kami dapat mengurangkan kos sekali gus boleh disalurkan untuk pembangunan peringkat akar umbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 8:31 AM