Kuala Lumpur: Pemain golf profesional Malaysia, Nicholas Fung berharap dapat mempamer prestasi terbaik dalam penampilan kedua pada kejohanan golf CIMB Classic di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, bermula esok.

“Saya gembira dapat kembali beraksi pada CIMB Classic. Saya betul-betul bersedia untuk kejohanan ini. Saya mempunyai banyak pengalaman bermain di lapangan ini dan yakin mampu beraksi dengan baik tahun ini.

“Saya sering berlatih membuat pukulan jauh dan kini mampu membuat pukulan lebih jauh. Lapangan golf ini agak sukar dan saya sudah berlatih membuat pukulan sejak tahun lalu dan berharap beraksi lebih baik tahun ini,” kata pemain kelahiran Sabah berusia 24 tahun itu.

Fung memperoleh slot menyertai kejohanan berprestij yang menawarkan hadiah lumayan itu sebagai pemain ranking tertinggi dari Malaysia berdasarkan Ranking Rasmi Golf Dunia terbaru.

“Kejohanan ini akan sekali lagi membariskan pemain hebat dan saya teruja untuk beraksi kali ini. Bagus untuk bermain dengan pemain ternama kerana saya boleh mendapat pengalaman berharga.

“Saya tidak mahu berasa tertekan bermain dengan pemain terbaik. Saya hanya mahu menampilkan prestasi terbaik saya,” katanya.

Pada kejohanan tahun lalu, Fung menamatkan saingan pada kedudukan ke-63 selepas membuat 293 pukulan, lima di atas par. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:05 AM