Kuala Lumpur: Dua bintang golf tempatan Danny Chia dan Nicholas Fung sekadar menamatkan cabaran di kelompok bawahan pada hari terakhir saingan CIMB Classic 2014 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara, semalam.

Bermain dalam cuaca panas sekitar 32 Selsius memperlihatkan dua pemain profesional negara itu tenggelam punca untuk mencari kedudukan lebih baik pada hari terakhir.

Danny, 42, hanya terdaya mengumpul 293 pukulan untuk berkongsi pukulan yang sama dengan Nicholas sekali gus berkongsi kedudukan tangga ke-65 daripada 78 pesaing.

“Agak kecewa menamatkan kedudukan di kelompok bawahan biarpun secara keseluruhan ia adalah penamat yang baik ketika saya masih lagi merasai sedikit kesakitan pada bahu.

“Selepas ini, saya akan cuba mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan sebelum boleh turun menjalani latihan di gimnasium bagi menguatkan semula kekuatan tangan. Harap di sini (CIMB Classic) bermulanya kebangkitan saya,” kata Danny yang baru pulih menjalani pembedahan bahu tahun lalu.

Sementara itu, bagi Nicholas yang melakar 71 bawah par dengan dua bogey pada lubang pertama dan ke-10 di hari terakhir berkata, pencapaian kurang memberangsangkan di lapangan KLGCC itu bukan penamat buatnya apabila meletakkan sasaran kelompok tiga teratas pada baki Jelajah Asia selepas ini.

“Saya masih tidak berputus asa untuk cuba menamatkan musim ini dengan meraih gelaran atau sekurang- kurangnya meraih tiga tempat teratas dalam Jelajah Asia nanti.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik di Chiangmai, Thailand dan lapangan kegemaran saya di Manila, Filipina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:01 AM