JUSTIN THOMAS
JUSTIN THOMAS
Reuters

KUALA LUMPUR: Pemain nombor empat dunia, Justin Thomas akan kembali ke Malaysia untuk memburu gelaran ketiga golf CIMB Classic bulan depan yang menawarkan hadiah kemenangan $7 juta (RM29 juta), kata penganjur hari ini.

Bintang Amerika Syarikat yang mempunyai pukulan kuat itu berkata, dia amat gembira untuk kembali ke Kuala Lumpur bagi menghangatkan saingan edisi kesembilan itu yang menjadi medan pertamanya memenangi gelaran Jelajah PGA pada 2015 sebelum mempertahankan mahkota itu setahun kemudian.

"Saya amat teruja untuk menjadi pemain pertama memenangi tiga gelaran CIMB Classic. Ia pastinya menyeronokkan untuk beraksi di atas lapangan TPC yang baharu diubah suai," kata Thomas dalam kenyataan di sini.

"Lapangan golf ini begitu sesuai dengan gaya permainan pukulan jauh saya dah berharap dapat melakukan banyak birdie. Saya tidak sabar lagi untuk kembali ke Malaysia dan menemui penyokong yang menaikkan semangat saya selama ini."

Thomas akan disertai juara bertahan Pat Perez, Keegan Bradley (pemenang Kejuaraan BMW), Paul Casey (pemain nombor 19 dunia) dan pemenang lima kali PGA Tour, Hideki Matsuyama.

Ahli ‘World Golf Hall of Fame’, Ernie Els dan Davis Love III turut bertanding dalam kejohanan yang berlangsung dari 11 hingga 14 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 12:23 PM