PEREZ bersama trofi kejuaraan selepas muncul juara pada Kejohanan Golf CIMB Classic 2017 di TPC Kuala Lumpur. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEREZ bersama trofi kejuaraan selepas muncul juara pada Kejohanan Golf CIMB Classic 2017 di TPC Kuala Lumpur. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Farah Azharie dan Naqib Nor Said


PAT Perez menggambarkan dirinya lambat menyerlah dalam sukan golf selepas dia muncul pemain paling berusia merangkul trofi CIMB Classic pada usia 41 tahun, tujuh bulan dan 14 hari.

Sepanjang empat hari kejohanan di TPC Kuala Lumpur itu, pemain Amerika Syarikat berkenaan hanya melakukan tiga bogey untuk menamatkan saingan 24 bawah par 264, mengatasi naib juara Keegan Bradley dengan empat pukulan - jurang terbesar dalam Jelajah PGA sejak Marc Leishman memenangi Kejuaraan BMW ketika playoff Piala FedEx musim lalu.

“Saya seorang yang berbeza berbanding 17 tahun lalu, malah lima tahun lalu. Saya mula belajar bagaimana untuk bermain permainan ini dan belajar bagaimana bermain dengan cara saya sendiri,” kata Perez.

“Kekal fokus dengan diri sendiri dan perkara seumpamanya. Seperti anda katakan, saya menyerlah ketika lewat usia.”

CIMB Classic yang menawarkan AS$7 juta (RM29 juta) adalah kemenangan ketiga Perez dalam siri Jelajah PGA dan kali pertama dia memenangi kejohanan dalam dua musim berturut-turut selepas menjulang trofi OHL Classic di Mayakoba November lalu.

“Saya tidak tertekan langsung sebaik tiba di sini, jadi saya cuma berharap dapat menangani cuaca panas di sini.

“Saya tidak akan mengubah apa-apa. Saya tetap tidak akan bersenam, saya akan makan apa yang saya mahu dan nikmati hidup saya. Berat turun minggu ini dan ia sesuatu yang baik,” katanya.

Perez kini melonjak ke tangga kedua Piala FedEx di belakang juara Terbuka Safeway Brendan Steele, yang menamatkan saingan di tangga ke-13 minggu ini sekali gus layak beraksi di Kejohanan Juara-Juara Sentry di Maui Januari ini.

Bradley yang menduduki tangga ke-47 Piala FedEx musim lalu, mencatat lima bawah par 67 hari ini untuk bergelar naib juara dan penamat 10 terbaik ketiga dalam empat kejohanan dengan kedudukan terbaik ialah di tangga keenam tahun lalu.

Xander Schauffele melengkap penguasaan pemain AS apabila menduduki tangga ketiga, berkongsi kedudukan dengan pemain Korea Selatan, Kang Sung Hoon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 6:25 PM