SEORANG kanak-kanak menangis sambil menggenggam tangan ibunya ketika berlindung di dalam terowong bawah tanah daripada serangan udara di Sanaa.
SEORANG kanak-kanak menangis sambil menggenggam tangan ibunya ketika berlindung di dalam terowong bawah tanah daripada serangan udara di Sanaa.
AFP

Aden: Sejumlah tentera diketuai Arab Saudi semalam memasuki Aden dalam operasi darat pertama dilaporkan di Yaman bagi menyokong pejuang prokerajaan menentang puak Houthi di situ.

Seorang pegawai kerajaan yang mengesahkan perkara itu berkata: “Satu pasukan tentera campuran itu memasuki Aden dengan mudah manakala satu lagi masih dalam perjalanan ke bandar pelabuhan itu.”

Pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap pemberontak Houthi dan sekutunya sejak 26 Mac lalu namun ini kali pertama tentera darat dihantar masuk.

Anggota kanan jawatankuasa popular yang menyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi berkata, penghantaran tentera darat itu pasti menguatkan lagi pasukan prokerajaan.

“Mereka akan membantu kami menentang Houthi Syiah dan bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh terutama di sekitar lapangan terbang antarabangsa yang kini ditawan kumpulan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pegawai militia lain turut mengesahkan puluhan tentera pakatan kebanyakannya warga Saudi dan Emiriyyah Arab Bersatu berketurunan Yaman kini berada di Aden.

Pakatan tentera itu mengisytiharkan tamat Operasi ‘Decisive Storm’ pada 21 April lalu seterusnya mengumumkan permulaan fasa baru yang memfokuskan usaha politik, penyampaian bantuan dan ‘menentang keganasan.’

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:18 AM