Suhaimi (berdiri empat dari kiri) dan Mohd Zaki (berdiri empat dari kanan) serta rakan lain  pada majlis pertemuan bekas pelajar di Taman Siti Aisah, Seberang Jaya.
Suhaimi (berdiri empat dari kiri) dan Mohd Zaki (berdiri empat dari kanan) serta rakan lain pada majlis pertemuan bekas pelajar di Taman Siti Aisah, Seberang Jaya.

Permatang Pauh: “Saya akan pujuk kawan yang tidak pernah pulang mengundi supaya balik mengundi Suhaimi kali ini,” kata Mohd Zaki Hussin, 44, yang memaklumkan kepada rakan sekolah mereka supaya pulang mengundi calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh Suhaimi Sabudin.

Zaki yang juga rakan sekelas Suhaimi ketika bersekolah di Sekolah Menengah Penanti (SMP) pada 1984 sehingga 1988 berkata, dia membantu berkempen untuk Suhaimi.

“Kenalan kami ramai yang bekerja di luar Pulau Pinang dan ada antara mereka tidak balik mengundi sebelum ini atas pelbagai urusan.

“Namun, kali ini saya akan memujuk mereka supaya pulang mengundi Suhaimi yang juga rakan sekolah kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Siti Aisyah, di sini, semalam.

Semalam, Suhaimi turut menyertai majlis pertemuan Persatuan Bekas Pelajar SMP di rumah Mohd Zaki dan sempat berkongsi cerita lama dan nostalgia alam persekolahan bersama rakan lamanya.

Mohd Zaki yang juga pengurus di syarikat multinasional berkata, Suhaimi adalah seorang pelajar pintar di sekolah dan digelar sebagai ulat buku oleh rakannya yang lain kerana sering membaca.

Katanya, dia mengenali Suhaimi sejak di bangku sekolah dan tahu beliau seorang yang berpandangan jauh serta tidak melakukan perkara membuang masa.

“Dia patut menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh kerana seorang yang berfikiran jauh dan bertanggungjawab, malah dia adalah anak jati Permatang Pauh.

“Kami selalu berhubung menerusi media sosial dan dia memberitahu supaya menyokongnya kerana dia dicalonkan menjadi calon BN di PRK Permatang Pauh.

“Kami pada mulanya tidak percaya, namun terkejut selepas melihat Suhaimi dinamakan sebagai calon BN,” katanya.

Suhaimi berkata, sehingga hari kesembilan kempen semalam, lebih 70 peratus pengundi Permatang Pauh berjaya ditemuinya dan dia terus memanfaatkan baki kempen untuk menemui seramai mungkin bakal pengundi.

“Saya yakin dengan sokongan yang diberikan dan percaya sejarah mungkin berlaku di Permatang Pauh pada PRK kali ini jika melihat kepada sokongan serta sambutan baik yang diterima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 10:11 AM