Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Keselesaan dan pakaian yang dapat membantu menyejukkan badan amat penting ketika menjalani sesi latihan khususnya bagi atlet.

Memahami keperluan itu, Adidas memperkenalkan koleksi terkininya, Climachill bagi memudahkan pengguna bersukan dengan selesa.

Bagi atlet yang inginkan penyelesaian secara sofistikated dalam mengawal suhu badan dan keselesaan sepanjang sesi latihan, rekaan inovatif yang ditampilkan pada koleksi berkenaan adalah jawapannya.

Pengarah Sains Sukan Adidas, Dr Maarten Hupperets berkata, suhu teras badan boleh meningkat sebanyak tiga darjah Celcius ketika bersenam.

“Bagi membantu mengekalkan kestabilan suhu badan, tubuh perlu bekerja lebih kuat untuk mengurangkan kehadiran haba yang berlebihan.

“Ini boleh menyebabkan fungsi fisiologi atlet terjejas, sekali gus memberi kesan kepada prestasi. Apabila membabitkan prestasi, semua perkara yang dialami atlet dianggap penting,” katanya.

Koleksi pakaian sukan yang direka itu adalah lebih bijak dan maju berbanding himpunan sebelum ini kerana ia membantu memberikan pengalaman mengenai sistem penyejukan badan secara maksimum.

Baju-T rona hitam yang dipakai ketika latihan sukan dicipta dengan teknologi pengurusan haba badan membantu menyejukkan tubuh atlet apabila berada dalam keadaan panas.

Malah ia turut memperkenalkan pakaian latihan sukan olahraga dalam rona hitam bagi mempersembahkan kehebatan teknologi yang digunakan.

Pendingin aluminium 3D berbentuk sfera yang ditambah pada setiap helaian dalam koleksi ini membantu memberikan rasa sejuk dengan segera apabila menyentuh kulit.

Selain ditambah dengan titik aluminium, setiap koleksi jersinya juga mengubah tanggapan kebanyakan atlet yang agak keberatan mengenakan pakaian rona hitam kerana bimbang merasai suhu panas melampau ketika sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 3:10 PM