PEMANDANGAN indah di sekitar Sungai Li yang mengagumkan.
PEMANDANGAN indah di sekitar Sungai Li yang mengagumkan.
MASJID Chongshan yang dibina pada 1735.
MASJID Chongshan yang dibina pada 1735.
ELEPHANT Trunk Hill yang menjadi ikon Guilin.
ELEPHANT Trunk Hill yang menjadi ikon Guilin.
NELAYAN menangkap ikan menggunakan burung antara yang menarik perhatian pelancong.
NELAYAN menangkap ikan menggunakan burung antara yang menarik perhatian pelancong.
PENULIS (berdiri kiri) bersama ahli rombongan merakam kenangan sebelum ke Shangri-La.
PENULIS (berdiri kiri) bersama ahli rombongan merakam kenangan sebelum ke Shangri-La.
Oleh Zamri Mahmud

Pengalaman melihat nelayan menangkap ikan menggunakan burung antara paling menarik sepanjang kunjungan ke Guilin, China, bulan lalu, yang sebelum ini hanya disaksikan menerusi filem dokumentari.

Kaedah nelayan menggunakan burung berleher panjang seperti itik yang dipanggil ‘commorant’ kini menjadi antara tarikan pelancong. Lehernya diikat dengan tali supaya ikan ditelan tidak menjadi makanannya, sebaliknya menjadi rezeki nelayan.

Burung itu dilepaskan ke sungai dan pulang ke rakit nelayan untuk dikeluarkan dua atau tiga ekor ikan yang tersekat di kerongkongnya sebelum dilepaskan semula bagi meneruskan ‘kerjanya’.

Guilin terletak di bahagian timur laut kawasan autonomi Guang–xi Zhuang, yang terkenal sebagai kota pelancongan. Guilin juga kota budaya dengan sejarah berusia lebih 2,000 tahun dan terkenal dengan pemandangan indah dikelilingi gunung-ganang serta rumpunan pokok buluh.

Pada hari pertama kunjungan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Guilin Liangjiang, destinasi pertama ialah restoran Muslim untuk makan tengah hari dan selepas itu bersolat di Masjid Chongshan, masjid tertua di Guilin yang dibina pada 1735.

Di situlah masyarakat Islam setempat berkumpul dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan, termasuk kelas membaca al-Quran.

Ketika kunjungan itu, suhu nyaman antara 15 hingga 20 darjah Celsius kerana peralihan daripada musim sejuk kepada musim bunga dan cuaca mendung dengan sesekali hujan renyai.

Ini disebabkan Guilin terletak dalam zon subtropika dan menerima taburan hujan yang tinggi dalam setahun. Selepas itu, penulis dan isteri bersama 24 lagi anggota rombongan dibawa ke Elephant Trunk Hill yang menjadi ikon bagi Guilin.

Ia dinamakan sedemikan kerana bentuknya menyerupai gajah sedang minum air di sungai menggunakan belalainya. Di kawasan itu juga ramai dalam kalangan kami mengambil peluang bergambar dengan menggayakan kostum diraja China dan pakaian tradisional masyarakat setempat yang disewakan dengan hanya 10 yuan (RM6).

Pada hari kedua, kami menyusuri Sungai Li yang juga dikenali sebagai Sungai Lishui. Ia tarikan terbesar di Guilin dan pelancong terpesona dengan pemandangan indah dan menenangkan dilihat dari bot persiaran.

Sungai Li dikelilingi formasi geografi eksotik yang kelihatan misteri bagi mereka yang melawat tempat ini. Pelancong berasakan seolah-olah berada dalam lukisan tradisional China berlatarbelakangkan gunung-ganang dengan tumbuh-tumbuhan subur menghijau.

Sungai Li turut terpilih antara 10 keajaiban air oleh majalah antarabangsa, National Geographic. Selepas makan tengah hari, kami bertolak ke Lipu dan melawat Silver Cave yang terkenal dengan gua dan batu-batan beraneka jenis dengan pancaran lampu berwarna-warni.

Sebelum memasuki gua, pemandu pelancong yang dikenali sebagai Justin meminta kami mencari dua gunung yang menyerupai dua gorila berpelukan. Kami tercari-cari dan mendapati memang ada dua gunung berbentuk seperti dinyatakannya.

Gua itu digunakan penduduk setempat ketika Perang Dunia Kedua untuk berlindung daripada tentera Jepun dan dibangunkan sebagai antara tarikan ke Guilin.

Pada sebelah malamnya, lepas makan di restoran Uighur, kami berpeluang menonton persembahan terkenal di Yangshuo iaitu ‘Impression Liu Sanjie Show’.

Persembahan itu sangat unik apabila pementasannya dilakukan di atas sungai dan dijayakan kira-kira 600 orang membabitkan pelakon, penyanyi dan penari. Mereka menyanyikan lagu rakyat dan me–ngisahkan keadaan kehidupan ma–syarakat di situ pada zaman silam.

Ia diarahkan pengarah filem terkenal China, Zhang Yimou dan dipersembahkan ketika pembukaan Sukan Olimpik 2008.

Hari ketiga, kami menyusuri Sungai Li lagi tapi kali ini dengan rakit berbumbung dan di sinilah dapat disaksikan penangkapan ikan oleh nelayan menggunakan burung ‘commorant’. Kami tidak putus-putus mengambil gambar pemandangan dan kegiatan nelayan dari rakit.

Pemandangan yang dilihat sangat menakjubkan apabila bayang-bayang gunung dan pepohonan boleh dilihat dalam air. Tidak hairan apabila kawasan ini menjadi tarikan kepada peminat fotografi dan jurufoto profesional untuk merakam gambar yang disifatkan antara pemandangan tercantik di dunia.

Selepas itu kami sekali lagi menyusuri sungai untuk ke Shangri-La atau juga dikenali sebagai Shi Wai Tao Yuan. Penduduk Yangshuo juga menggelarnya ‘Land of Peach Blossoms’ (tanah kuntuman pic), terletak di antara Yangshuo-Guilin iaitu hanya 16 kilometer dari bandar Yangshuo.

Setiba di Shangri-La, kami disambut dengan alunan lagu dan muzik suku kaum yang mendiami kawasan itu. Di situ, kawasannya luas dan ada rumah penduduk setempat dengan seni bina mengagumkan.

Masuk hari keempat iaitu hari terakhir lawatan sebelum pulang keesokannya, kami ke Gunung Yao dengan menaiki lif kerusi. Ia gunung tertinggi di Guilin dengan ketinggian lebih 900 meter.

Perjalanan dengan lif kerusi untuk ke puncak Gunung Yao mengambil masa lebih 20 minit dan pengunjung menikmati panorama alam dari udara serta boleh melihat keseluruhan kota Guilin apabila berada di puncak.

Bagaimanapun, setiba di puncak, kami tidak mendapat peluang itu kerana cuaca mendung dengan hujan renyai dan berkabus. Jadi, yang kami dapat saksikan dari puncak hanya keputihan akibat berkabus.

Ketika pulang, kami diberi pilihan sama ada meneruskan perjalanan turun dengan lif kerusi atau mencuba sejenis gelongsor pada pertengahan jalan. Saya memilih untuk mencuba gelongsor kerana peluang ini bukan selalu diperoleh.

Lawatan diteruskan ke Jing–jiang Prince City (Solitary Beauty Peak), di tengah kota Guilin yang dibina antara 1372 hingga 1392 pada zaman Dinasti Ming.

Peluang menjengah Zheng Yang Pedestrian Street dan pasar malam di Yangshuo yang dipenuhi gerai dan kedai menjual beraneka barangan daripada pakaian hinggalah cenderamata menjadi saat ditunggu mereka yang ingin membeli-belah, sama ada untuk diri sendiri atau cenderahati untuk dibawa pulang.

Pembeli hanya perlu bijak menawar kerana jika bernasib baik, barangan boleh dibeli dengan murah iaitu lebih daripada separuh harga asal.

Kunjungan ke Guilin sememangnya meninggalkan kenangan terindah dan bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dengan menikmati keindahan alam semula jadi yang menyejukkan pandangan mata, wilayah ini antara jawapannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:07 AM